Kenyataan Patriot tidak bertanggungjawab

Halim
Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan tegas perlu diambil ke atas Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) susulan kenyataan tidak bertanggungjawab mengatakan penubuhan kerajaan baharu dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak melalui proses demokrasi.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, kenyataan oleh Presiden Patriot, Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji berhubung perkara itu amat menghina Yang di-Pertuan Agong serta Perdana Menteri.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan Patriot kepada Muhyiddin setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipertikaikan.

"Kenyataan itu seolah-olah mencabar serta menidakkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang mencemar duli untuk berjumpa dengan semua ahli Parlimen dan presiden-presiden daripada parti yang terlibat sebelum Seri Paduka Baginda membuat keputusan di atas nasihat dan persetujuan Penasihat Undang-undangnya.

"Kerajaan atau istana perlu ambil tindakan ke atas Patriot yang cuba mencampuri urusan kerajaan dan menghasut rakyat untuk bangkit mendesak agar pelantikan Perdana Menteri kelapan dicabar," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Semalam, Mohamed Arshad mewakili Patriot menggesa agar nama dan bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir didedahkan, selain menegaskan sidang Parlimen juga tidak seharusnya ditangguhkan.

Katanya, ia bagi membolehkan sokongan terhadap Perdana Menteri serta kerajaan baharu diuji dan jika Pakatan Harapan (PH) memperoleh sokongan majoriti oleh Dewan Rakyat, mereka perlu diberi peluang untuk membentuk kerajaan mengikut mandat yang diberikan rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Dalam pada itu, Halim berkata, beliau juga yakin kenyataan Mohamed Arshad itu bukan mewakili semua bekas pasukan keselamatan terutama pesara dan bekas tentera.

Artikel Berkaitan:

"Sewajarnya beliau perlu lebih rasional dan tidak mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan kepada rakyat serta menghina keputusan Yang di-Pertuan Agong.

"Ini sudah pasti akan menimbulkan pelbagai tanggapan negatif serta menghilangkan rasa hormat masyarakat kepada sebuah NGO yang menggunakan nama Patriot (Pejuang)," katanya.