Nakba bukan sekadar sejarah, ia luka yang masih berdarah - Abdul Hadi

SHAH ALAM - Memasuki tahun ke-77 tanah rakyat Palestin dirampas secara ganas dan dipindahkan secara paksa oleh rejim Zionis tidak akan menghapuskan hak dan maruah umat Islam.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang malah menegaskan, ia menyemarakkan semangat juang, menyatukan suara rakyat dan mengangkat panji Islam di seluruh dunia.
"Nakba bukan sekadar sejarah, ia adalah luka yang masih berdarah.
"Tanah suci yang di dalamnya ada Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam telah diceroboh dan dinodai oleh penjajah Zionis.
"Mereka datang dengan penindasan, memecah keamanan dan menjajah atas nama kebatilan. Kita percaya Palestin akan dibebaskan dan al-Aqsa akan kembali ke tangan umat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Tarikh 15 Mei diperingati sebagai hari penubuhan negara haram Israel, sekali gus menandakan tanah rakyat Palestin dirampas peneroka haram Yahudi.
Perpindahan besar-besaran penduduk Palestin pertama berlaku pada 1948, turut dikenali sebagai Nakba atau 'malapetaka' dalam bahasa Arab.
Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, tragedi Nakba menjadi titik hitam dalam sejarah umat Islam apabila bumi Palestin dirampas secara zalim dan lebih 700,000 penduduk asalnya diusir dari tanah kelahiran.
"Hari ini, kita ulangi ikrar (bahawa) kita bersama Palestin, kita tentang kezaliman, kita tidak akan lupakan Nakba dan kita terus berdoa serta berjuang, agar ALLAH memilih generasi ini untuk menjadi saksi kemenangan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!