EV jadi pilihan pengguna dunia

PARIS – Jualan kenderaan elektrik (EV) dijangka terus meningkat tahun ini meskipun berdepan ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif baharu dari Amerika Syarikat (AS), menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Dalam laporan tahunan yang dikeluarkan pada Rabu, IEA menjangkakan satu daripada setiap empat kereta yang dijual di seluruh dunia tahun ini adalah kenderaan elektrik dengan didorong oleh kos operasi yang rendah dan semakin mampu milik.
"Data kami menunjukkan EV masih berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh di peringkat global," kata Ketua Pengarah IEA, Fatih Birol.
Beliau menjangka menjelang akhir dekad ini, lebih dua daripada lima kereta yang dijual di dunia adalah EV.
Tahun lalu, jualan EV termasuk hibrid plug-in mencecah lebih 17 juta unit, meningkat lebih 3.5 juta berbanding 2023. Untuk suku pertama 2024 sahaja, jualan global melonjak 35 peratus, dengan unjuran melebihi 20 juta unit sepanjang tahun ini.

China kekal sebagai peneraju peralihan EV, menyumbang hampir dua pertiga daripada jualan global dan lebih 70 peratus daripada pengeluaran dunia.
IEA menjelaskan harga EV di China kini lebih murah berbanding kereta biasa, walaupun tanpa subsidi.
Sebaliknya, di negara maju seperti Jerman dan Amerika Syarikat, harga EV masih 20 hingga 30 peratus lebih mahal berbanding kereta enjin pembakaran biasa.
Di China, hampir satu daripada dua kereta yang dijual pada 2024 adalah EV, naik hampir 40 peratus berbanding tahun lalu.
Negara membangun di Asia, Amerika Latin dan Afrika mencatat pertumbuhan pesat dalam jualan EV tahun lalu, meningkat lebih 60 peratus secara tahunan.
IEA berkata pertumbuhan ini didorong oleh galakan dasar kerajaan dan kewujudan kereta elektrik mampu milik dari pengeluar China.
Syarikat China juga semakin banyak melabur dalam pengeluaran tempatan di negara-negara membangun bagi mengelak tarif import.

Laporan itu turut menyatakan bahawa tarif tinggi bukan sahaja menjejaskan jualan EV, tetapi juga kenderaan konvensional, terutama dalam ekonomi yang perlahan.
Namun, pasaran China dijangka mampu bertahan disebabkan sokongan kerajaan dan harga EV yang kompetitif.
IEA turut menyatakan perdagangan global EV kini menyumbang hampir satu perlima daripada jumlah jualan keseluruhan kereta. - AFP
Lima sebab EV jadi pilihan
1. Jimat kos jangka panjang
2. Mesra alam
3. Teknologi canggih dan senyap
4. Insentif dan galakan kerajaan
5. Harga makin mampu milik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!