Pesawat terhempas lagi di Amerika Syarikat

Pesawat ringan jenis Learjet 55 terhempas hingga mengakibatkan beberapa rumah terbakar.
Pesawat ringan jenis Learjet 55 terhempas hingga mengakibatkan beberapa rumah terbakar.
A
A
A

PHILADELPHIA - Selepas tragedi nahas Black Hawk-American Airlines, satu lagi insiden pesawat ringan terhempas di sini, Amerika Syarikat (AS) berlaku pada malam Jumaat.

Menurut jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat jenis Learjet 55 itu dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Timur Laut Philadelphia pada jam 6.30 petang waktu tempatan, sebelum terhempas pada jarak kurang daripada 6.4 kilometer dari lapangan terbang berkenaan.

Kejadian nahas itu mengakibatkan beberapa rumah terbakar setelah dirempuh pesawat berkenaan dan seterusnya menyebabkan berlaku letupan.

Susulan itu, pegawai bomba Philadelphia memaklumkan pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian bagi mengawal api kebakaran.

Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih belum dapat dipastikan.

“Difahamkan setakat ini dua orang berada di dalam pesawat berkenaan dan terdapat juga laporan mengenai mangsa lain yang cedera di darat.

“Setakat ini belum dapat disahkan punca, siapa yang berada di dalam pesawat atau terdapat mangsa selamat,” katanya.

Media antarabangsa BBC melaporkan nahas pesawat itu berlaku selepas satu lagi perlanggaran yang jauh lebih besar antara sebuah pesawat komersial dan sebuah helikopter tentera di Washington DC, di mana pihak berkuasa mengesyaki semua 67 orang yang berada di dalam kedua-dua pesawat tersebut terkorban.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, rakaman video insiden yang tular di media sosial memaparkan pesawat terbabit jatuh dengan pantas hingga menyebabkan bola api besar meletup ke udara.

Nahas itu juga berlaku hanya beberapa blok dari Roosevelt Mall, sebuah pusat membeli-belah tiga tingkat di kawasan berkepadatan penduduk tinggi di utara Philadelphia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!