Modi tegaskan India berdiri teguh bersama Israel

JERUSALEM– Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyatakan bahawa India berdiri 'teguh dengan penuh keyakinan' bersama Israel, ketika negara itu berhadapan saat 'getir' ketika menyampaikan ucapan di Knesset, Parlimen Israel pada Rabu.
Modi yang berada di Israel dalam lawatan dua hari untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pertahanan, menyampaikan takziah terdalam rakyat India kepada setiap keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam kejadian pada Oktober 2023 lalu.
“Kami merasakan kesakitan anda, kami berkongsi kesedihan anda. India berdiri bersama Israel dengan penuh keyakinan pada saat ini dan selepas ini,” kata Modi.
Dalam ucapannya, beliau tidak menyebut secara khusus tentang puluhan ribu rakyat Palestin yang terkorban dalam perang lebih dua tahun antara Israel dan Hamas di Gaza.
Bagaimanapun, Modi menyatakan India menyokong semua usaha yang menyumbang kepada perdamaian berkekalan dan kestabilan serantau.
Beliau juga menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi India dan kedudukan Israel sebagai pemimpin dalam inovasi teknologi mewujudkan asas semula jadi untuk kerjasama masa depan, termasuk dalam bidang teknologi kuantum, semikonduktor dan kecerdasan buatan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, India menyokong Israel kerana ia memahami peranan negara itu sebagai 'tembok pertahanan menentang ketidakadilan', dan menambah lawatan Modi akan 'mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.'
Sebelum ucapan, Modi disambut dengan karpet merah di Lapangan Terbang Ben Gurion dan dipeluk oleh Netanyahu.
Jurucakap pejabat Netanyahu berkata, kedua pemimpin berkongsi 'hubungan khas dan peribadi', dengan Israel dan India membentuk 'pakatan kukuh sebagai rakan kongsi dalam inovasi, keselamatan dan visi strategik bersama'.
Modi juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Israel, Isaac Herzog, sepanjang lawatan ini.
India dan Israel menjalin hubungan diplomatik penuh sejak 1992, tetapi hubungan kedua negara semakin mendalam sejak Modi menjadi Perdana Menteri pada 2014.
Rundingan untuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara India dan Israel dibuka di New Delhi pada Isnin lalu, dengan jumlah dagangan barangan mencapai AS$3.62 bilion (RM13.9 bilion) bagi 2024–2025.
Kerjasama antara kedua negara merangkumi sektor pertahanan, pertanian, teknologi dan keselamatan siber. Sebagai contoh, teknologi dron tentera Israel memainkan peranan penting semasa konflik India–Pakistan pada Mei 2025.
Lawatan Modi turut mencetuskan reaksi bercampur di dalam negara. Priyanka Gandhi, tokoh kanan Parti Kongres India, berharap agar Modi akan menyebut tentang “ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak tidak bersalah yang terbunuh di Gaza” semasa ucapannya di Parlimen Israel.
India adalah negara berpenduduk majoriti Hindu dengan kira-kira 1.4 bilion penduduk, tetapi turut mempunyai komuniti Muslim yang besar iaitu sekitar 220 juta orang.
Beberapa usaha besar seperti Koridor Ekonomi India–Timur Tengah–Eropah turut terganggu akibat konflik antara Israel dan Hamas sejak serangan 7 Oktober 2023.-AFP
Ringkasan AI
- Narendra Modi menyatakan India berdiri bersama Israel dalam saat getir semasa ucapannya di Parlimen Israel
- Modi mengucapkan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden Oktober 2023
- India menyokong usaha yang membawa kepada perdamaian dan kestabilan serantau
- Kerjasama masa depan antara India dan Israel termasuk dalam teknologi kuantum, semikonduktor dan kecerdasan buatan
- Hubungan diplomatik antara India dan Israel semakin mendalam sejak Modi menjadi Perdana Menteri pada 2014
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
