Kelahiran bayi Jepun jatuh ke paras terendah

TOKYO - Jumlah bayi yang dilahirkan di Jepun pada 2025 menurun kepada 705,809 orang berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjadi angka terendah sejak data direkodkan pada 1899 dan mencatat penyusutan bagi tahun ke-10 berturut-turut, lapor agensi berita Kyodo memetik data kementerian kesihatan pada Khamis.
Angka itu termasuk penduduk asing dan menyusut 2.1 peratus berbanding 2024 ketika negara berdepan populasi menua dengan pantas serta kebimbangan kos membesarkan anak yang semakin meningkat susulan inflasi.
Bagaimanapun, kadar penurunan itu lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya.
Selain faktor ekonomi, pakar turut menyatakan semakin ramai memilih untuk berkahwin dan mempunyai anak pada usia lebih lewat atau tidak berkahwin langsung berikutan perubahan keutamaan hidup.
Penyusutan populasi pula tidak menunjukkan tanda reda apabila pengurangan semula jadi iaitu jumlah kelahiran ditolak jumlah kematian dengan mencecah paras tertinggi pernah direkodkan sebanyak 899,845 orang, menurut data awal Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.
Institut Penyelidikan Populasi dan Keselamatan Sosial Kebangsaan sebelum ini mengunjurkan jumlah kelahiran, termasuk dalam kalangan penduduk asing, tidak akan jatuh di bawah 710,000 sehingga 2042.
Dalam data berasingan yang dikeluarkan Jun tahun lalu, jumlah bayi yang dilahirkan kepada warga Jepun pada 2024 merosot kepada 680,000 orang, sekali gus jatuh di bawah paras 700,000 buat pertama kali. - Bernama
Ringkasan AI
- Jumlah bayi yang dilahirkan di Jepun pada 2025 menurun kepada 705,809 orang, angka terendah sejak 1899
- Penurunan ini mencatatkan penyusutan bagi tahun ke-10 berturut-turut
- Faktor ekonomi dan keutamaan hidup yang berubah menyumbang kepada keputusan berkahwin dan mempunyai anak pada usia lewat atau tidak langsung
- Penyusutan populasi disebabkan pengurangan semula jadi mencapai paras tertinggi pernah direkodkan sebanyak 899,845 orang
- Pada 2024, jumlah bayi yang dilahirkan kepada warga Jepun merosot ke 680,000 orang, jatuh di bawah paras 700,000 buat pertama kali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
