Anwar, Putin suarakan hasrat bersama perkukuh perdagangan, pelaburan

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Rusia menyatakan hasrat bersama untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia–Rusia yang semakin berkembang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun hubungan antara kedua-dua negara berjalan dengan baik, masih terdapat potensi besar yang belum diterokai, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik.
“Itu sebabnya saya memilih untuk datang ke sini sebagai tetamu beliau,” kata Anwar dalam sidang media bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Moscow, Rusia pada Rabu.
Perdana Menteri menyambut baik sokongan Rusia dalam sektor utama seperti latihan; aeroangkasa; sains, teknologi dan inovasi (STI); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI).
“Kami berterima kasih kerana Presiden Putin menganggap Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dan sebagai sebuah negara yang layak menerima sokongan sedemikian,” ujar beliau.
Anwar turut menyatakan minat Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan Rusia dalam bidang semikonduktor dan AI, memandangkan kepentingan sektor tersebut dalam memacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin juga telah membincangkan isu-isu antarabangsa yang lebih luas dan menekankan kepentingan sistem multilateral berasaskan peraturan.
“Kita tidak menyokong tindakan unilateral oleh mana-mana negara, kerana tindakan sedemikian mengganggu keamanan dan keselamatan, sama ada di rantau kita atau di peringkat global,” katanya.
Putin pula berkata: “Kami memberi keutamaan kepada pembangunan seterusnya dalam perdagangan dan pelaburan,” merujuk kepada skop kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Pada tahun 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.
Manakala import dari Rusia pula terutama terdiri daripada produk petroleum, mineral serta bahan kimia dan produk berasaskan kimia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!