Rusia sahabat baik Malaysia – PM

MOSCOW - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta sokongan peribadi Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk melaksanakan dan mempercepat pelbagai projek termasuk kerjasama dalam bidang teknologi makanan, tenaga nuklear dan ketenteraan antara kedua-dua negara.
“Kami akan memastikan bahawa kerjasama itu meliputi semua bidang,” katanya semasa pertemuan dengan Putin di Kremlin pada Rabu.
Anwar turut menegaskan bahawa Rusia kekal sebagai rakan baik Malaysia, dengan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin sejak 1967.
“Sudah banyak perbincangan dan memorandum persefahaman (MoU) diadakan, jadi telah sampai masanya kerjasama itu direalisasikan secepat mungkin,” kata Anwar, yang mengetuai delegasi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei.
Beliau berkata, pertemuan dengan Putin amat penting memandangkan terdapat perbincangan meluas bersama komuniti perniagaan dan ketua industri mengenai pelaburan dalam bidang digital, peralihan tenaga, teknologi makanan, nuklear serta kerjasama ketenteraan.
Semasa pertemuan itu, Anwar merakamkan ucapan terima kasih kepada Putin atas penghormatan dan peluang untuk bertemu serta membincangkan isu-isu strategik demi meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita berbincang dengan panjang lebar dan anda telah memberikan kami keistimewaan serta penghormatan yang jarang berlaku; Rusia adalah sebuah negara yang hebat dan sangat penting yang memberikan kami penghargaan sedemikian.
“Dan delegasi saya, sudah tentu, amat menghargainya,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Beliau turut menyatakan bahawa pertemuan tersebut membincangkan pelbagai isu yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Kami berharap kepada kejayaan dalam mesyuarat dan perbincangan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
