PM pelawa Aeroflot sambung semula penerbangan terus ke Malaysia

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa dan mencadangkan agar syarikat penerbangan Rusia termasuk Aeroflot memulakan semula laluan penerbangan langsung ke Malaysia secepat mungkin.
“Kita mengambil pendirian sebagai negara yang tidak memihak, dan melaksanakan peranan pusat dalam ASEAN, bagi membolehkan kita menentukan sendiri perkara yang terbaik untuk Malaysia dan rakyatnya,” kata beliau pada sidang media bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Moscow, Rusia pada Rabu.
Aeroflot yang telah beroperasi selama lebih 100 tahun dan menjadi antara jenama Rusia paling terkemuka, merupakan syarikat penerbangan terbesar Rusia, yang turut merangkumi syarikat penerbangan Rossiya dan Pobeda.
Kumpulan Aeroflot ialah peneraju utama dalam sektor penerbangan komersial Rusia.
Pada tahun 2024, Aeroflot sahaja telah membawa 30.1 juta penumpang, dan secara keseluruhan sebanyak 55.3 juta penumpang melalui syarikat-syarikat penerbangan di bawah Kumpulan Aeroflot.
Aeroflot terus mengembangkan rangkaian laluan domestiknya, termasuk laluan antara wilayah tanpa melalui Moscow, di samping membangunkan program pengangkutan berorientasikan sosial serta melaksanakan program tambang rata sendiri bagi penerbangan ke bandar-bandar di Timur Jauh dan Kaliningrad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!