PM undang Putin hadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2025

Anwar (kiri) bersama Putin ketika mengadakan sidang media bersama sejurus mesyuarat delegasi selesai di Kremlin Moscow pada Rabu. Foto Bernama
Anwar (kiri) bersama Putin ketika mengadakan sidang media bersama sejurus mesyuarat delegasi selesai di Kremlin Moscow pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengundang Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur yang merupakan sebahagian daripada siri mesyuarat peringkat tinggi Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini.

Bercakap dalam sidang media bersama Putin di Moscow pada Rabu, Anwar menekankan kepentingan lawatan berprofil tinggi seperti itu, dan menyatakan bahawa kehadiran Putin akan menjadi satu penghormatan besar kepada Malaysia serta mencerminkan kepentingan hubungan dua hala dan diplomasi serantau.

“Bagi pihak kerajaan, rakyat pastinya akan berharap dan berpandangan ia sesuatu yang besar dan hebat jika Presiden Putin berada di Malaysia tidak lama lagi atau selewat-lewatnya semasa Sidang Kemuncak Asia Timur yang diadakan dalam Sidang Kemuncak ASEAN.

“Tetapi saya boleh jamin bahawa kehadiran anda di Malaysia akan menjadi suatu pencapaian, bukan sahaja dalam hubungan dengan Malaysia malah rantau ini, kerana saya percaya ramai di kawasan ini mempunyai penghormatan dan jangkaan yang tinggi terhadap kepimpinan anda,” katanya.

Sidang media tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Anwar.

Sementara itu, Anwar turut menekankan komitmen tegas Malaysia terhadap prinsip multilateralisme dan menyatakan sokongan berterusan kepada orde antarabangsa yang berasaskan peraturan.

"Kami berbincang beberapa isu antarabangsa. Kami berpegang teguh pada kerjasama multilateral ini, kerjasama multilateral berasaskan peraturan dan justeru itu kami perlu teruskan berdasarkan prinsip tersebut.

"Bagaimanapun, kami tidak terima tindakan unilateral oleh mana-mana negara kerana ia mengganggu kerjasama ini dan keamanan serta keselamatan rantau kami dan dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar turut menyifatkan mesyuarat bersama Putin sebagai mesra dan konstruktif, dengan saling menghormati dan memahami.

"Jadi, sekali lagi, Presiden Putin, saya ingin memberi jaminan bahawa Malaysia bukan sahaja mempunyai jangkaan tetapi juga berharap hubungan istimewa dengan Persekutuan Rusia ini akan diperkukuh menerusi kerjasama dan program yang bermakna," katanya.

Menurut Perdana Menteri, perbincangannya bersama Putin merangkumi pelbagai isu dari pendidikan kepada pertanian, keselamatan makanan kepada komoditi pertanian, teknologi, keselamatan siber, tenaga dan pertahanan sekali gus menunjukkan komitmen yang jelas untuk meningkatkan hubungan dua hala.

"Terdapat beberapa isu tertunggak disebabkan oleh ketetapan geopolitik, tetapi kami mengambil pendirian berkecuali di Malaysia dan ASEAN untuk memutuskan sendiri apa yang terbaik untuk Malaysia dan rakyatnya," katanya.

Anwar turut mengucapkan terima kasih atas layanan mesra negara besar itu, yang disifatkannya sebagai kaya dengan sejarah, tamadun, budaya dan seni, serta warisan perjuangan yang berterusan oleh rakyat yang percaya pada maruah dan kemerdekaan.

"Saya telah katakan ini kepada Presiden Putin, bahawa kekaguman saya menjangkau hubungan diplomatik, tetapi kerana pemahaman saya tentang sejarah dan budaya serta sumbangan besar dalam bidang sastera dan seni dan balet, yang kebetulan saya terlepas kerana jadual yang padat," katanya.

Terdahulu, selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin, Anwar berkata Malaysia dan Rusia komited untuk meneruskan usaha memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka bidang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik serta kerjasama budaya dan sains.

Anwar tiba di Moscow pada Selasa untuk lawatan rasmi empat hari sebelum meneruskan segmen kedua lawatannya ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!