Trend yang boleh membunuh anak muda

Kes Radzi Rockrider adalah peringatan yang cukup jelas bahawa vape bukanlah trend atau gaya hidup yang boleh dibanggakan, tetapi ia sedang menjerat anak-anak kita dalam diam.
Kes Radzi Rockrider adalah peringatan yang cukup jelas bahawa vape bukanlah trend atau gaya hidup yang boleh dibanggakan, tetapi ia sedang menjerat anak-anak kita dalam diam.
A
A
A

BARU-BARU ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kisah menyayat hati apabila seorang lelaki meninggal dunia selepas empat tahun bergelut dengan ketagihan rokok elektronik atau vape.

Lelaki tersebut sempat merakam dan menyebarkan video terakhirnya di TikTok @radzirockrider pada 28 April lalu, menceritakan masalah jantung yang dipercayai berpunca daripada amalan menghisap vape berterusan. Pemergian Radzi Rockrider disahkan oleh isterinya beberapa hari selepas video tersebut tular.

Kisah ini menjadi iktibar dan peringatan kepada semua bahawa vape bukanlah sekadar isu remaja, tetapi ancaman yang semakin menular dalam kalangan generasi muda.

Sebenarnya, isu bahaya penggunaan vape sudah tersebar sejak dari dahulu lagi, malah Kementerian Kesihatan (KKM) turut memberi amaran, namun ia seolah-olah tidak diendahkan oleh peminat tegar. Mungkin sebab belum ada kes kritikal akibat vape diuar-uarkan.

Berdasarkan pendedahan Radzi Rockrider itu, jelas menunjukkan ancaman senyap vape kini semakin meluas, malah turut membimbangkan kerana ia turut digunakan pelajar sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh mendedahkan seramai 19,450 murid dikesan menggunakan vape berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) sehingga Disember 2024.

Statistik ini menunjukkan vape bukan sekadar alat mengeluarkan asap berperisa tetapi sudah menjadi punca penyakit serius yang menyerang perlahan-lahan sehingga boleh membunuh tanpa disedari.

Tidak terhenti di situ, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan turut memaklumkan, terdapat 17 kes penyakit paru-paru EVALI yang dikaitkan dengan penggunaan vape telah dilaporkan dalam kalangan remaja dan dewasa muda pada Jun 2023.

Contoh lain dilaporkan, pada 21 April lalu, seorang pelajar Tingkatan Tiga di Kangar, Perlis mengalami sawan selepas dipercayai menghisap vape. Begitu juga dengan insiden seorang pelajar Tingkatan Dua terjatuh dari bumbung sekolah selepas khayal akibat vape dalam kelas.

Artikel Berkaitan:

Sejujurnya sebagai seorang ibu, penulis juga tidak dapat menyembunyikan kebimbangan terhadap fenomena tersebut.

Isu vape juga pernah mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencadangkan agar penggunaan vape diharamkan secara total. Saranan terbabit amat wajar memandangkan vape bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, tetapi turut memberi kesan negatif kepada pendidikan dan perkembangan mental pelajar.

Terbaharu, kerajaan negeri Terengganu telah membuat langkah tepat apabila mengumumkan larangan penjualan vape bermula 1 Ogos depan, menjadikan ia negeri ketiga selepas Johor dan Kelantan yang mengharamkan penjualan vape.

Pakar Perunding Kanan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin turut menyarankan semua kerajaan negeri mengambil pendekatan sama melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) demi kesihatan awam.

Penulis berpandangan, penguatkuasaan undang-undang perlu diperkemaskan termasuk mengenakan hukuman berat terhadap penjual yang menjual kepada individu bawah umur, selain kawalan penjualan di platform digital.

KPM pula disarankan memasukkan modul tentang bahaya vape dalam silibus bagi membentuk kesedaran dari awal kepada golongan remaja.

Tidak dinafikan, kebanyakan golongan remaja yang menghisap vape ini adalah untuk keseronokan, namun tidak kurang juga yang terlibat kerana mengikut trend kononnya untuk nampak lebih bergaya.

Namun, Kes Radzi Rockrider adalah peringatan yang cukup jelas bahawa vape bukanlah trend atau gaya hidup yang boleh dibanggakan, tetapi ia sedang menjerat anak-anak kita dalam diam.

Jika kita terus membisu, yang akan rebah bukan hanya mereka, tetapi masa depan seluruh bangsa. Adakah kita bersedia dengan jalan yang kita pilih itu?

* Norawazni Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Pahang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!