Jawatankuasa khas vape langkah tepat lindungi generasi muda

PENUBUHAN jawatankuasa khas oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyiasat isu vape yang dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah dilihat sebagai langkah yang sangat wajar dan tepat pada masanya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, trend penggunaan vape dalam kalangan remaja dan belia semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila wujud laporan mengenai penyalahgunaan alat ini untuk tujuan penagihan dadah.
Langkah proaktif KKM ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesihatan awam dan keselamatan masyarakat.
Vape yang dicampur dengan bahan seperti ganja sintetik, methamphetamine, atau cecair psikoaktif lain bukan sahaja membahayakan kesihatan fizikal dan mental pengguna tetapi juga boleh menjadi punca kepada masalah ketagihan yang lebih serius.
Lebih memburukkan keadaan, produk-produk ini sering kali dijual secara terbuka dan boleh diakses dengan mudah oleh golongan bawah umur.
Bagaimanapun, penubuhan jawatankuasa ini diharapkan dapat melaksanakan tugas dengan baik dan berfungsi untuk melindungi generasi muda pada masa kini.
Antara tugas jawatankuasa ini adalah merangka dasar dan tindakan penguatkuasaan yang lebih komprehensif.
Ini termasuk pemantauan terhadap penjualan vape, pelabelan bahan kandungan, dan hukuman yang lebih tegas terhadap pihak yang terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran vape bercampur dadah.
Selain itu, kerjasama antara pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan pihak berkuasa tempatan perlu digiatkan.
Masyarakat juga perlu diberi pendedahan mengenai risiko sebenar penggunaan vape yang tidak terkawal dan bahan terlarang secara tersembunyi.
Secara keseluruhannya, tindakan KKM ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam mengekang penyalahgunaan vape di negara ini.
Usaha itu harus disokong oleh semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi melindungi generasi muda daripada ancaman kesihatan dan sosial yang semakin meruncing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!