Selangor timbang haramkan penjualan vape, kertas cadangan dibentang di MMKN

Kertas cadangan berhubung keperluan pengharaman penjualan vape di Selangor akan dibentangkan pada MMKN dalam masa terdekat. Gambar kecil: Amirudin
Kertas cadangan berhubung keperluan pengharaman penjualan vape di Selangor akan dibentangkan pada MMKN dalam masa terdekat. Gambar kecil: Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kertas cadangan berhubung keperluan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di Selangor akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah mengarahkan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin bagi penyediaan kertas itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"(Perkembangan pengharaman vape) ia akan dibentangkan dalam MMKN dan telah pun arah buat kertas dan kita mempertimbangkan keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C di Kolam Horas 600, Jalan Kawasan Loji Air, Bestari Jaya di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri harus melihat menyeluruh dalam pelbagai aspek supaya dapat memberi jaminan kepada kesihatan generasi akan datang.

Terdahulu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan, kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat khas bersepadu dalam tempoh terdekat bagi meneliti keperluan pengharaman penjualan vape di negeri ini.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape kerana lesen perniagaan itu berada di bawah pihak berkuasa tempatan.

Beliau menjelaskan, ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan apabila terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape yang dicampur dadah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu, kerajaan negeri sedia menjadi orang tengah dalam perundingan isu tuntutan pampasan insurans rumah dan kenderaan mangsa insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Beliau berkata, perkara itu antara akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama unit bencana negeri pada petang ini.

Bagaimanapun, katanya, tuntutan itu melibatkan terma dalam polisi insurans antara penduduk dan syarikat insurans.

"Kerajaan negeri mungkin boleh bantu jadi mediator sebab ini adalah perjanjian antara kedua-dua pihak iaitu penduduk dan syarikat insurans.

"Jadi, polisi insurans itu ada tertera dalam perjanjian (tuntutan insurans), namun kerajaan negeri sedia bantu tetapi akan menyelesaikan isu asas dulu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!