Selangor perkenal pelan induk air, tangani isu bekalan dan banjir

Amirudin (dua dari kanan) melihat pelan pembinaan projek SJAM selepas Majlis Penyerahan SJAM Pakej A dan C di Kolam Horas 600, Jalan Kawasan Loji Air, Bestari Jaya di sini pada Selasa.
Amirudin (dua dari kanan) melihat pelan pembinaan projek SJAM selepas Majlis Penyerahan SJAM Pakej A dan C di Kolam Horas 600, Jalan Kawasan Loji Air, Bestari Jaya di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor sedang membangunkan pelan induk air yang bukan sahaja menyentuh isu bekalan jangka panjang, malah merangkumi penyelesaian masalah banjir yang berlarutan di beberapa kawasan di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelan induk itu bakal menjadi garis panduan penting dalam mengurus sumber air sama ada ketika musim kemarau dan lebihan hujan sekali gus menjadikan pengurusan air negeri lebih menyeluruh dan mampan.

"Kalau air kurang kita hadapi masalah bekalan, namun jika lebih pula, berlaku banjir dan pelan induk ini akan ambil kira kedua-dua aspek secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C di Kolam Horas 600, Jalan Kawasan Loji Air, Bestari Jaya di sini pada Selasa.

Amirudin memberitahu, pelan tersebut dijangka siap dalam tempoh terdekat dan akan merangkumi aspek penyimpanan air, lokasi kolam tadahan serta sistem kawalan banjir jangka panjang.

"Setakat ini, lebih 100 kolam telah dikenal pasti di seluruh negeri dan kebanyakannya dalam proses untuk digazetkan sebagai kawasan simpanan strategik," jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut berusaha menyelesaikan isu banjir yang masih berlaku di beberapa kawasan kritikal termasuk Taman Melawis yang berdekatan

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Banyak kawasan seperti Bukit Raja sudah berjaya kita tangani dengan tindakan segera, tapi yang lain kita perlukan kerjasama agensi-agensi luar kerana ia melibatkan laluan strategik seperti landasan kereta api,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, SJAM juga dilihat sebagai satu langkah proaktif negeri bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang.

Katanya, langkah besar itu diperlukan dalam menghadapi kesan perubahan iklim dan pembangunan pesat.

Kata beliau, SJAM dijangka menjadi antara inisiatif terbesar dalam sejarah pengurusan air Selangor dalam usaha menjamin bekalan air lebih stabil.

"Setakat ini, lebih 1.2 juta akaun pengguna air direkodkan di Selangor dengan anggaran jumlah penduduk yang menggunakan kemudahan air mencecah 4 juta orang termasuk warga asing dan penghuni asrama serta apartmen," tambah beliau.

Mengulas mengenai penyerahan projek SJAM di kawasan itu, Amirudin memberitahu, pakej A dan C itu melibatkan kapasiti pengepaman antara 2,700 hingga 3,000 juta liter sehari (MLD) dan menyokong terus keperluan 1.2 juta akaun pengguna air di Selangor.

"Projek ini adalah antara yang paling kritikal kerana ia menjamin bekalan air mentah kepada kawasan paling padat di Selangor dan kita tidak boleh bergantung pada satu sumber sahaja,” ujar beliau.

Menurut Amirudin, beberapa komponen utama SJAM sudah pun siap termasuk di Rantau Panjang dan Semenyih dengan yang terakhir hanya menunggu ujian penuh sebelum siap sepenuhnya.

"Kalau ketiga-tiga pakej besar ini selesai, kita boleh anggap sistem SJAM sudah lengkap dan boleh beroperasi sepenuhnya,” jelas beliau.

Selain itu, katanya, projek diversion atau pengalihan aliran air dari kawasan intake juga telah siap sepenuhnya lebih awal yang membolehkan aliran terus masuk ke bahagian hilir tanpa menjejaskan muka sauk.

Secara keseluruhan, katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM320 juta untuk pembinaan loji pengepaman dan kemudahan berkaitan di bawah SJAM yang dijangka menjadi benteng utama kepada risiko gangguan bekalan air termasuk ketika pencemaran.

"Saya tak berani janji 100 peratus, tapi dengan sistem ini risiko gangguan boleh dikurangkan sehingga 95 atau 99 peratus.

"Kita juga akan tingkatkan kawalan dari semasa ke semasa untuk elak sebarang insiden luar jangka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!