[VIDEO] Masa sesuai guna wang ehsan tangani isu hakisan pantai - UMNO
KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu digesa memohon bantuan kerajaan pusat termasuk menggunakan peruntukan bayaran dana khas (wang ehsan) bagi menangani segera masalah hakisan pantai yang berlaku di beberapa kawasan di daerah ini.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tindakan segera amat diperlukan bagi memastikan masalah itu dapat dikekang sekali gus tidak merebak ke tempat lain.
"Bagi saya ini masa yang sesuai jika kerajaan negeri dapat mohon kepada Perdana Menteri untuk salurkan segera peruntukan, dan saya rasa ini masa yang terbaik untuk guna wang ehsan kita.
"Saya rasa tiada isu untuk gunakan duit ini bagi menyegerakan proses menangani masalah hakisan. Selain itu, kita boleh gunakan peruntukan sedia ada kepada kontraktor untuk selesaikan masalah ini dalam jangka masa pendek," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau lokasi hakisan di Pantai Mengabang Telipot, di sini pada petang Selasa.
Dalam pada itu, katanya, masalah hakisan pantai itu dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya langkah pencegahan segera tidak diambil.

"Sebelum ini, kerosakan pantai-pantai di Mengabang Telipot telah merebak ke pantai Pengkalan Maras, dan kini merebak ke pantai Batu Rakit.
"Kalau tak diambil tindakan segera, tidak mustahil akan ia akan merebak ke muara Merang, Setiu dan mungkin sampai ke Besut dan seterusnya," ujarnya.
Ahmad Razif turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemusnahan rumah dan kedai termasuk yang menjadi tarikan pelancongan di Terengganu.
"Saya difahamkan banyak kajian telah dibuat berhubung isu hakisan ini selama bertahun-tahun, namun tiada kesan yang kita nampak dan ia memberi kerugian yang amat besar terhadap peruntukan kerajaan, duit rakyat dan menjadi isu terbesar adalah kehilangan harta benda.
"Rumah ditenggelami air, dan lebih menyayat hati kita, sebelum ini 15 jenazah terpaksa dipindahkan disebabkan masalah hakisan ini. Kubur yang ada di Pengkalan Maras juga hanya 'tunggu masa'. Jadi perlu buat sesuatu.
"Boleh contohi projek mencegah hakisan seperti yang telah dilakukan di Pantai Seberang Takir serta di Pantai Tok Jembal yang terbukti berjaya mengurangkan impak hakisan," ujarnya.
Berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, sebanyak 34 kawasan pantai dikenal pasti terhakis sepanjang tahun lalu.
Antara paling terjejas ketika ini ialah Pantai Mengabang Telipot, Pangkalan Maras dan Kampung Tanjung Batu Rakit yang memusnahkan jalan raya, rumah penduduk, kedai makan dan chalet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
