KPM digesa selesai masalah remaja terpaksa bekerja tangani isu keciciran murid

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa memikirkan penyelesaian terhadap permasalahan remaja bawah 18 tahun yang terpaksa untuk tidak bersekolah atas sebab bekerja demi menyara keluarganya.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, cabaran KPM untuk menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah lebih besar berbanding mewajibkan di peringkat sekolah rendah.
“Contohnya, jika seorang anak dalam lingkungan umur 14 hingga 16 tahun, tinggal dengan ibu sakit, kematian ayah, ada adik-adik dan bekerja untuk menyara keluarga. Jadi kalau kita wajibkan pendidikan, siapa yang akan ambil alih cari pendapatan?
“Adakah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bersedia menyalurkan bantuan kepada keluarga tersebut kerana anak yang selama ini sepatutnya beri pendapatan, tetapi hari ini kena hadir ke sekolah. Maka siapa akan tanggung perbelanjaan keluarga itu?,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, KPM sedang dalam proses menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah di Parlimen bulan depan sebagai langkah proaktif bagi menangani isu keciciran murid di peringkat menengah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu juga berpotensi mengangkat dasar pendidikan wajib sekolah menengah.
Dalam pada itu, Anuar berkata, KPM juga perlu memikirkan cara untuk membantu para pelajar supaya golongan tersebut dapat mematuhi peraturan atau undang-undang agar tidak dikenakan sebarang hukuman.
“Bukan itu sahaja, contoh lain adalah anak-anak yang berada di kawasan pedalaman, jarak rumah dengan sekolah sangat jauh. Jadi apakah kita akan ada dasar, misalnya yang berada dalam radius tertentu akan diberi keutamaan untuk berada di asrama harian.
“Daripada memasukkan sesiapa sahaja ke asrama, tetapi hari ini mungkin kita perlu melihat semula dasar kemasukan asrama harian.
“Jadi bagaimana KPM akan mudahkan cara supaya anak-anak ini tidak melanggar peraturan. Perkara ini perlu dilihat, saya rasa cabaran besar, untuk pastikan mereka dapat teruskan pembelajaran dan tidak dikenakan sebarang hukuman,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tetap memuji inisiatif KPM untuk menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah di Parlimen kerana ia adalah satu-satunya cara berbentuk keadilan kepada pelajar untuk belajar dan mempunyai akta yang melindungi golongan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!