'Perkenan Agong merupakan suatu penghormatan besar' - Azam Baki

Azam Baki.
Azam Baki.
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan baginda melantik semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya untuk tempoh satu tahun, berkuat kuasa dari 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Menurut Azam, perkenan tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada dirinya dan seluruh warga SPRM.

"Ucapan terima kasih turut saya zahirkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan dukungan berterusan dalam meneruskan amanah ini.

"Dengan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab dan amanah yang diberikan, saya akan terus menerajui usaha SPRM dalam membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan sejahtera," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, SPRM juga komited untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara agar Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa.

"Semoga ALLAH SWT melimpahkan rahmat serta kesejahteraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memimpin negara ke arah masa depan yang gemilang," ujarnya.

Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan tersebut masing-masing selama setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya, selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Azam pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam SPRM, antaranya Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penguatkuasaan apabila menyertai agensi antirasuah berkenaan pada tahun 1984 yang ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!