[VIDEO] 12,030 jemaah Malaysia selamat tiba di Madinah
SEPANG – Seramai 12,030 jemaah haji Malaysia daripada jumlah keseluruhan 31,600 yang mendapat kuota rasmi negara bagi musim haji 1446 Hijrah telah selamat tiba di Madinah menerusi 40 kumpulan penerbangan (KT) setakat ini.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air (OHTA) Tabung Haji (TH), Haji Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, baki 19,570 jemaah akan diterbangkan ke Tanah Suci secara berperingkat.
“Baki jemaah akan berlepas dari Hotel Movenpick, Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, hari ini.
Tambah beliau, setakat ini operasi penerbangan berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.
“KT1 hingga KT42 akan berlepas terus ke Madinah, manakala penerbangan pertama ke Jeddah akan bermula dengan KT43,” jelasnya.
Menurut Mohamed Ameen, selain Movenpick sebagai stesen utama pelepasan, tujuh stesen pelepasan luar turut beroperasi di Alor Setar, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Jemaah dari stesen luar akan transit di KLIA sebelum meneruskan penerbangan ke Tanah Suci,” katanya.
Beliau turut menasihatkan jemaah agar mematuhi jadual dan lokasi pelepasan seperti yang dinyatakan dalam surat penerbangan bagi mengelakkan kesulitan.
“Datanglah tepat pada waktu atau lebih awal sedikit bagi memudahkan urusan. Jemaah juga diingatkan menjaga kesihatan fizikal, membawa bekalan ubat yang diperlukan dan mengutamakan ketahanan diri sepanjang ibadah,” katanya.
Mohamed Ameen turut menyeru para jemaah untuk menumpukan sepenuhnya kepada ibadah.
“Anggaplah ini peluang sekali seumur hidup kerana lebih empat juta umat Islam lain masih menunggu giliran,” ujarnya.
Tabung Haji katanya, sentiasa komited memastikan kebajikan jemaah terpelihara sama ada di Malaysia atau di Arab Saudi.
“Petugas kami akan membantu di setiap lokasi termasuk di Movenpick, KLIA serta di Tanah Suci. Klinik kesihatan turut disediakan di Movenpick dan di pintu pelepasan C17, KLIA.
“Di Arab Saudi, petugas TH mudah dikenali melalui baju putih, t-shirt oren, dan jaket TH, serta akan ditempatkan di semua maktab (hotel penginapan jemaah),” jelasnya.
Mohamed Ameen turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua jemaah yang terpilih selepas melalui proses tabungan dan pendaftaran haji.
“Saya menyeru umat Islam Malaysia yang belum berpeluang agar memulakan langkah dengan membuka akaun TH dan menabung secara berdisiplin,” katanya.
Beliau menambah, TH mempunyai 107 cawangan seluruh negara selain akses secara dalam talian melalui ATM, CDM, internet banking dan rakan strategik bank.
“Apabila jumlah simpanan mencukupi minimum RM1,300, bakal jemaah boleh mendaftar dan meneruskan simpanan sehingga dipanggil,” katanya.
Tambah beliau, walaupun kuota haji dikawal kerajaan Arab Saudi, umat Islam di negara ini tetap digalakkan untuk mendaftar.
“Ibadah haji adalah jemputan Allah SWT. Usaha kita bermula dengan niat, pendaftaran dan tabungan yang konsisten,” katanya mengakhiri sidang media.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!