55 peratus kes diadu jemaah haji tidak aktif pengeluaran wang di luar negara

MAKKAH – Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya mengaktifkan kad Debit-i TH untuk penggunaan luar negara ketika masih berada di tanah air bagi mengelakkan kesulitan sebaik tiba di Tanah Suci.
Pengarah Operasi Kewangan Tabung Haji (TH), Shamsul Bahar Shamsudin berkata, hampir 55 peratus daripada 374 keseluruhan aduan diterima pihaknya di Tanah Suci setakat ini berkaitan kes kad debit tidak diaktifkan bagi pengeluaran wang di luar negara.
Menurutnya, tindakan itu perlu bagi memudahkan urusan kewangan jemaah di Madinah mahupun di Makkah.
“Saya minta jemaah yang masih berada di tanah air supaya aktifkan dahulu kad Debit-i TH mereka sebelum sampai ke sini (Tanah Suci).
“Bank Islam juga ada membuka kaunter di Balai Berlepas Movenpick, Sepang untuk membantu jemaah bagi urusan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya jemaah menggunakan kad debit berkenaan, tiada caj transaksi dikenakan kerana kos itu akan diserap oleh Bank Islam.
“Caj transaksi itu biasanya antara 10 ke 15 riyal namun untuk jemaah haji ia dikecualikan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Janadriyah, di sini.
Shamsul Bahar berkata, selain tidak mengaktifkan kad debit untuk pengeluaran luar negara, pihaknya turut menerima aduan berhubung kehilangan kad debit selain ada jemaah haji yang terlupa nombor pin keselamatan dan kad lama alami kerosakan.
Ujarnya, pihaknya menerima 15 aduan berhubung kehilangan kad debit setakat ini dan masalah itu telah diselesaikan serta-merta.
“Kita tak tahu punca kad hilang sama ada mereka tersalah letak atau sebagainya, kita pun tak tanya sangat sebab tidak mahu ganggu emosi jemaah. Apa yang kami buat, batalkan kad lama dan gantikan kad baharu untuk mudahkan urusan mereka.
“Saya nasihatkan jemaah jaga kad bank dan semua dokumen penting masing-masing dengan baik, memang boleh ganti baharu tetapi akan susahkan mereka kerana perlu ke kaunter buat aduan dan sebagainya,” katanya.
Ujar Shamsul Bahar lagi, jemaah haji diminta segera ke kaunter perkhidmatan kad debit TH-Bank Islam jika mengalami sebarang masalah terutama jika kehilangan kad.
“Petugas kami berada di dua hotel di Madinah dan tiga hotel di Makkah, selain THiJARI kami juga menyediakan perkhidmatan kaunter Bank Islam,” katanya.
Ujarnya, bantuan akan diberikan serta-merta secara percuma dan tiada caj bayaran dikenakan.
“Jika kad hilang di luar waktu pejabat, jemaah haji boleh terus berhubung dengan pengurus maktab masing-masing dan mereka akan maklumkan kepada pihak kami,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengingatkan jemaah haji supaya tidak menggunakan mesin pengeluaran wang (ATM) yang tidak mempunyai arahan urusniaga dalam Bahasa Inggeris.
“Jangan main agak-agak sahaja jika mesin itu hanya keluar arahan dalam Bahasa Arab, tolong cari mesin ATM lain.
“Pilih jumlah pengeluaran yang bertetapan kerana kita tertakluk kepada kadar tukaran asing. Maksudnya kalau dalam bank ada RM1,000 tak bermaksud boleh keluarkan jumlah itu sebab ia ikut kadar tukaran asing semasa,” katanya
Dalam pada itu beliau berkata, tiada urusan pinjaman wang disediakan buat jemaah di Tanah Suci.
Bagaimanapun katanya, jemaah boleh berhubung dengan keluarga di tanah air untuk memasukkan wang ke dalam akaun mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!