[VIDEO] ‘Saya mohon rakyat Malaysia keluar dari Makkah jika tiada visa haji’

A
A
A

MADINAH - [DIKEMAS KINI] “Saya mohon rakyat Malaysia yang masih memegang visa umrah atau visa pelancong untuk segera keluar dari Makkah atau berdepan tindakan tegas oleh kerajaan Arab Saudi termasuk didenda, diusir dan disenarai hitam.”

Demikian tegas Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif yang memaklumkan individu yang tertangkap kerana kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga 20,000 riyal manakala syarikat boleh didenda mencecah 100,000 riyal.

Menurutnya, individu yang tertangkap akan diusir keluar serta-merta oleh kerajaan Arab Saudi sebelum sempat menunaikan haji.

“Saya mohon mereka (yang tiada visa haji) keluar tinggalkan Makkah. Sepatutnya mereka sudah keluar dari Makkah kerana hari ini sudah mula berkuat kuasa visa haji.

“Kita bimbang sekiranya ada pihak langgar peraturan, kerajaan Arab Saudi akan tarik balik keistimewaan diberikan kepada rakyat Malaysia ketika ini,” katanya ketika sidang media selepas menyambut ketibaan 284 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama yang tiba di Hotel Emaar Royal di sini pada Selasa.

Roslan (tengah) ketika sidang media selepas menyambut ketibaan 284 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama yang tiba di Hotel Emaar Royal pada Selasa. Foto Sinar Harian NUR FARHANA ABDUL MANAN
Roslan (tengah) ketika sidang media selepas menyambut ketibaan 284 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama yang tiba di Hotel Emaar Royal pada Selasa. Foto Sinar Harian NUR FARHANA ABDUL MANAN

Beliau berkata, kerajaan Malaysia melalui Kedutaan Malaysia di Riyadh dan Jeddah mahu elakkan perkara itu untuk menjaga nama baik negara.

Ujarnya, kerajaan Arab Saudi telah memulakan persiapan menghadapi musim haji lebih awal berbanding tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, meningkat langkah-langkah kawalan dan mengetatkan peraturan berkaitan seawal Februari lalu

“Ini termasuklah sekatan visa dan mengehadkan tempoh keberadaan di Arab Saudi dari 90 hari kepada 30 hari khususnya kepada 14 buah negara namun Malaysia tidak tersenarai dalam negara dikenakan sekatan.

“Sebab itu saya katakan, kegagalan jemaah mematuhi peraturan tempatan yang dikuat kuasa boleh memberikan implikasi besar,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai jemaah yang berhasrat menunaikan haji dengan berjalan kaki, menaiki motosikal dan sebagainya namun tidak memiliki visa, beliau menegaskan niat tidak menghalalkan cara.

“Kita buat haji menunaikan Rukun Islam kelima untuk cari pahala, niat tidak menghalalkan pelaksanaan.

“Kalau niat kita baik jadi pelaksanaan kenalah baik, jika kita guna kemudahan langgar peraturan dan sebagainya kita sebenarnya nafikan hak jemaah haji yang berdaftar,” katanya

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan jemaah haji supaya bergerak secara berkumpulan, mematuhi arahan Tabung Haji dan undang-undang tempatan di Arab Saudi.

“Semoga operasi haji tahun ini berjalan lancar dan jemaah pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat serta mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Seramai 284 jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada Selasa.

Mereka yang terdiri daripada 112 jemaah lelaki dan 141 wanita dan 31 petugas haji itu tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 pada jam 8.04 pagi waktu tempatan sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan mereka di Hotel Emaar Royal

Info tarikh penting:

29 April 2025 – Penerbangan pergi pertama jemaah Malaysia

30 Mei 2025 – Penerbangan pergi akhir jemaah Malaysia

5 Jun2025 – Hari Wukuf

14 Jun 2025 – Penerbangan balik pertama jemaah Malaysia

10 Julai 2025 - Penerbangan balik akhir jemaah Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!