Bawa rokok melebihi had, beg bagasi jemaah haji Indonesia ditahan

MADINAH – Empat buah beg bagasi milik jemaah haji dari Indonesia dilaporkan ditahan oleh pihak Kastam Arab Saudi di Lapangan Terbang Madinah kerana didapati mengandungi rokok melebihi had yang dibenarkan.
Petugas Penyelenggara Ibadah Haji (PPIH) Arab Saudi berkata, pihaknya segera bertindak sebaik menerima maklumat mengenai penahanan bagasi tersebut.
Ketua Operasi Lapangan Terbang, Abdul Basir memaklumkan, pihak kastam enggan menyerahkan beg bagasi berkenaan melainkan pemiliknya hadir sendiri ke lapangan terbang.
“Kami dimaklumkan terdapat empat beg bagasi jemaah yang ditahan. Namun, kami tidak dapat mengambilnya kerana pihak kastam tetap meminta jemaah hadir sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Difahamkan, keempat-empat jemaah terbabit ketika itu sudah berada di hotel di Madinah dan kemudian dibawa semula ke lapangan terbang bagi proses pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada empat beg bagasi berkenaan mengandungi rokok melebihi 200 batang, iaitu had maksimum yang dibenarkan untuk dibawa masuk ke Arab Saudi.
“Setelah beg bagasi dibuka bersama jemaah, kami dapati ia mengandungi rokok dalam kuantiti yang sangat banyak,” ujarnya.
Berikutan itu, pihak Kastam bertindak menyita rokok berlebihan dan hanya membenarkan jemaah membawa dua karton rokok sahaja.
“Rokok selebihnya boleh ditebus semula jika jemaah sanggup membayar denda atau cukai yang nilainya jauh lebih tinggi daripada harga asal rokok tersebut,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kebanyakan jemaah tidak mengetahui peraturan berhubung had membawa rokok ke Arab Saudi dan pihaknya akan terus mempertingkatkan usaha memberikan penerangan kepada jemaah pada masa akan datang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!