'Memang kita mahu timbulkan kebencian terhadap homoseksual' - Exco Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu tidak menafikan bahawa mesej pada papan tanda amaran berkaitan amalan homoseksual yang dipasang di beberapa lokasi strategik di negeri itu sememangnya bertujuan menimbulkan rasa benci terhadap perbuatan tersebut dalam kalangan masyarakat.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha mendidik rakyat agar menjauhi perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan norma masyarakat.
“Memang kita mahu rakyat benci kepada perbuatan homoseksual ini. Kita mahu mereka anggap ia kotor, salah dan perlu dijauhi.
“Papan tanda seperti ini adalah sebahagian daripada usaha menyemarakkan suasana bandar dengan syiar Islam.
“Misalnya, untuk papan tanda lain yang memaparkan unsur-unsur memuji ALLAH SWT, bila orang lalu dan nampak, mereka baca. Kalau hari itu tak sebut Subhanallah pun, mungkin dengan tengok papan tanda ini mereka akan sebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita tempatan yang mempersoalkan kewujudan papan tanda larangan berkaitan homoseksual berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Katanya lagi, pemasangan papan tanda tersebut memberi peringatan berterusan kepada orang ramai, terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan golongan muda termasuk institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kita sasarkan kawasan IPT sebab di situ ramai anak muda. Mesej ini penting supaya mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Sukairi menegaskan bahawa setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu boleh memilih gaya penyampaian yang berbeza, namun tujuannya tetap sama, iaitu untuk mendidik dan mencegah.
“Apa yang kita laksanakan ini merupakan inisiatif PBT masing-masing. Di tempat lain mungkin menggunakan perkataan yang berlainan,” katanya lagi.
Sementara itu, langkah yang diambil turut menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk aktivis transgender, Nisha Ayub, yang menyifatkannya sebagai bentuk diskriminasi yang diinstitusikan serta ‘pengiktirafan berbahaya terhadap kebencian’.
Pada Khamis, portal berita tersebut melaporkan terdapat ahli akademik mempersoalkan tindakan meletakkan papan tanda amaran terhadap amalan homoseksual di lokasi strategik berhampiran pintu masuk dan keluar utama universiti berkenaan.
Laporan itu menyebut, sumber yang enggan dikenali menyatakan bahawa kedudukan papan tanda berkenaan di laluan utama kampus menimbulkan persoalan berhubung tujuan sebenar pemasangannya oleh pihak berkuasa tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!