'Hanya boleh nampak dengan sebelah mata'

Muhammad Fakrullah (kiri) bersama anak saudaranya, Muhammad Fayyad Syahiran yang menghidap sejenis penyakit mata genetik, glaukoma yang berisiko menyebabkan buta.
Muhammad Fakrullah (kiri) bersama anak saudaranya, Muhammad Fayyad Syahiran yang menghidap sejenis penyakit mata genetik, glaukoma yang berisiko menyebabkan buta.
A
A
A

SETIU - Seorang pemuda di Kampung Balik Bukit di sini berdepan kemungkinan hilang penglihatan sepenuhnya selepas disahkan menghidap penyakit glaukoma.

Muhammad Fakrullah Mohd Ariff, 19, berkata, hidupnya berubah tiga tahun lalu selepas matanya terkena habuk besi ketika membantu kerja memotong logam di rumahnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut di hospital mengesahkan dia menghidap glaukoma yang menyebabkan tahap penglihatannya merosot kepada hanya 10 peratus.

"Doktor maklumkan mata saya seperti 'rabun parah'. Saya cuma mampu nampak sejauh lima hingga 10 meter sahaja. Masa tu, saya betul-betul tertekan, rasa macam hidup dah gelap.

"Syukurlah, keluarga banyak beri semangat untuk saya terus kuat," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di sini baru-baru ini.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, pada Ogos lalu dia menjalani pembedahan untuk menyelamatkan mata sebelah kiri.

"Saya kini hanya melihat menggunakan sebelah mata sahaja, mata kanan saya dah tak nampak langsung. Mata kiri pun sekarang tinggal satu peratus sahaja.

"Orang nampak mata saya macam normal, tetapi hakikatnya saya telah menjadi orang kurang upaya (OKU) dan tidak boleh membuat kerja-kerja berat.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga terpaksa bergantung pada keluarga dan perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setiap bulan untuk rawatan," katanya.

Dalam pada itu, anak saudaranya, Muhammad Fayyad Syahiran Muhammad Fairuz yang berusia tiga tahun turut disahkan menghidap glaukoma sejak lahir dan kini memakai bebola mata palsu pada mata kiri.

Bapa Muhammad Fayyad Syahiran, Muhammad Fairuz Mohd Ariff, 24, berkata, anak tunggalnya itu hanya bergantung pada mata kanan yang masih berfungsi.

Jelasnya, Fayyad perlu menjalani rawatan bulanan di HSNZ dan pemeriksaan rongga mata setiap enam bulan bagi memastikan saiz mata palsunya sesuai dengan perkembangan fizikalnya.

"Kalau tak dirawat, bukan saja penglihatan dia terjejas, tapi bentuk muka pun akan berubah sebab rongga mata akan mengecut bila dia membesar.

"Dia mula pakai mata palsu pada Februari lalu dan sejak itu dia selalu mengadu sakit. Setiap kali dengar merintih, saya sedih. Hati bapa mana yang tak luluh dengar rintihan anak sekecil ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!