Bapa 92 tahun jaga anak warga emas buta sebelah mata


TANAH MERAH - Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah pula sepanjang masa.
Malah kasih seorang ayah juga sanggup melakukan apa sahaja untuk memberikan yang terbaik kepada anaknya-anaknya.
Pepatah tersebut sesuai buat seorang warga emas, Ibrahim Jusoh yang tinggal di Kampung Bukit Gading di sini.
Walaupun uzur susulan penyakit darah tinggi dan jantung dihidapinya, namun dia tabah menjaga anak sulungnya, Siti Ziayah,68, yang buta mata kirinya akibat penyakit saraf.
Di samping itu, lelaki berusia 92 tahun itu juga perlu menguruskan dirinya sendiri bagi mendapatkan ubat sebulan sekali di hospital.
Menurutnya, anaknya yang buta sejak dua tahun lalu itu merupakan ibu kepada seorang anak lelaki berusia 40-an.
“Anak saya ibu tunggal dan saya yang menjaganya. Kami tinggal berdua di rumah ini.
“Kalau dia rebah ketika berjalan di dalam rumah ini, saya yang akan angkatnya dengan kudrat tak seberapa ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya dalam program Ziarah Kasih Kawasan Rukun Tetangga pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Ibrahim berkata, Siti Ziayah merupakan anak sulung daripada 11 beradik dan masih tinggal bersamanya walaupun sudah lanjut usia.

Bagaimanapun Ibarhim berkata, dirinya tidak menganggap tanggungjawab itu sebagai beban malah tetap setia membantu anaknya itu meneruskan kehidupan.
“Saya tak rasa susah pun sebab dia memang anak saya.
“Selagi boleh, saya akan bantu menjaganya hingga akhir hayat,” ujarnya dengan tenang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!