Program AZAM tingkat pendapatan usahawan asnaf

Rizal (tiga dari kiri), bergambar bersama penerima pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) di sebuah hotel di sini pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Rizal (tiga dari kiri), bergambar bersama penerima pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) di sebuah hotel di sini pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) berjaya membantu usahawan asnaf meningkatkan purata pendapatan perniagaan sebanyak 36 peratus, daripada RM2,151 kepada RM2,924 dalam tempoh setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank (AIS), Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, lebih 90 peratus peserta melaporkan perubahan positif dalam kehidupan mereka dari segi kesihatan, pendidikan dan masa berkualiti bersama keluarga.

“Justeru, AIS beriltizam meluaskan pelaksanaan program AZAM ke seluruh negara dengan perbincangan yang sedang dijalankan bersama beberapa Majlis Agama Negeri dan pihak berkuasa zakat susulan kejayaan inisiatif ini di Selangor.

“Dalam masa sama, untuk memperkukuh penglibatan masyarakat setempat bagi program ini, kami alu-alukan sumbangan zakat wakalah daripada orang ramai,” katanya pada Majlis Perkongsian Laporan Keberkesanan Program AZAM pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Ahmad Fadhil Hassan dan Timbalan Pengarah Urusan (Kewangan) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Norsharizal Mashahrin.

Tambahnya, program yang dilancarkan pada Disember 2023 itu telah memberikan pembiayaan kepada dua kumpulan pertama dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM450,000.

“Bagi setiap kohort, tempoh pembiayaan adalah selama satu tahun dan amaun setiap pinjaman adalah sebanyak RM5,000. Setiap kohort melibatkan 45 peserta dan jumlah pembiayaan sebanyak RM225,000.

"Lebih membanggakan, kadar bayaran balik setakat ini mencecah 100 peratus. Peningkatan pendapatan pula melonjak sehingga 44 peratus, malah ada yang mencapai 150 peratus dengan purata peningkatan sebanyak 36 peratus,” ujar beliau.

Rizal berkata, antara syarat yang ditetapkan bersama Majlis Fatwa dan LZS ialah penggunaan dana zakat dalam program tersebut hanya dibenarkan selama tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

“Selepas tempoh itu, dana akan diagihkan secara langsung kepada penerima zakat seperti yang telah dipersetujui.

“Dalam tempoh tiga tahun, kami sasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 135 peserta, tidak termasuk tambahan penerima yang akan dibantu hasil bayaran balik daripada kumpulan terdahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhil berkata, salah satu cabaran dalam pelaksanaan program itu adalah keperluan untuk mendapatkan kelulusan khas, memandangkan fatwa sedia ada menetapkan dana zakat perlu diagih dalam tempoh tertentu.

“Majlis Fatwa bersetuju keluarkan fatwa khusus dan penerimaan itu membolehkan konsep baharu mikro-pembiayaan dilaksanakan secara sah serta berlandaskan syariah, sekali gus memberi nilai tambah kepada pengurusan zakat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!