Lagi beras Siam diseludup guna treler, dipercayai didalangi individu dari Kuala Lumpur

KUALA KRAI - Cubaan menyeludup 40 tan beras Siam menggunakan treler dipatahkan dalam serbuan bersepadu di Simpang Empat Kampung Manjor, Jalan Kuala Krai - Gua Musang di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan jam 8.45 malam itu dilakukan menerusi operasi Taring Wawasan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan.
“Pasukan risikan mengesan pergerakan mencurigakan kenderaan berat yang dipercayai membawa muatan beras tanpa dokumen pengesahan.
“Dalam serbuan itu, pihak kami juga dapat menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 27 tahun yang merupakan pemandu lori serta kelindan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan beras terbabit dianggarkan berjumlah RM550,050 dan kini disita oleh pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes tersebut merupakan rampasan kedua dalam tempoh dua hari yang menggunakan modus operandi sama.
“Berdasarkan maklumat risikan, sindiket ini dipercayai didalangi seorang individu dari Kuala Lumpur.
“Kami akan terus mempertingkatkan operasi rondaan dan risikan untuk mengekang penyeludupan yang menjejaskan keselamatan makanan serta ekonomi negara,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.
Sebelum ini, Pasukan Gerakan Am berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan beras juga berjumlah 40 tan menggunakan treler selepas dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram di negeri ini yang terletak di sebuah stesen minyak di Taman Guchil Jaya, di sini pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!