RISDA bantu pekebun kecil Zon Timur tingkat pendapatan

Pekebun kecil getah kini berpeluang menjana pendapatan tambahan menerusi pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta RISDA.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bagi tujuan itu, RISDA memperuntukkan RM123.11 juta tahun ini bagi menyokong agenda pembangunan pekebun kecil getah merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya, inisiatif itu melibatkan bantuan penanaman semula getah, prasarana ladang, input pertanian, program keusahawanan dan agromakanan untuk meningkatkan ekonomi pekebun kecil, selain pembangunan kemahiran, modal insan, sehinggalah kepada bantuan khairat kematian.
"Ini sejajar dengan usaha murni kerajaan dalam memastikan kemakmuran dan kelestarian komuniti ini terus terpelihara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival RISDA Madani (KARRISMA)Zon Timur 2025 di Perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, pada Sabtu.
Majlis perasmian KARRISMA tersebut disempurnakan oleh Syed Ibrahim bagi mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
KARRISMA Zon Timur 2025 adalah inisiatif terkini RISDA dalam menyebarluaskan informasi berkaitan program pembangunan, termasuklah peranan Kumpulan RISDA Holdings melalui penganjuran program berkonsepkan karnival rakyat.
Syed Ibrahim berkata, KKDW dan RISDA merancang pelbagai inisiatif melalui program khas, merangkumi akses pembiayaan, latihan,penguasaan teknologi digital, serta insentif bagi meningkatkan daya saing golongan ini.
Jelasnya, bagi memperkukuh sektor tersebut di Zon Timur, RISDA menyediakan RM13.57 juta kepada 1,552 usahawan bimbingannya, manakala RM9.12 juta disalurkan kepada 450 pekebun kecil dalam Program Agromakanan.
Menyentuh penganjuran KARRISMA, Syed Ibrahim menambah, sebanyak 109 pempamer mengambil bahagian, terdiri daripada 83 usahawan serta 26 agensi kerajaan dan syarikat swasta.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim menjelaskan, Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa memberi sokongan penuh terhadap inisiatif KKDW dan RISDA demi kemakmuran pekebun kecil di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
