Berkat doa jemaah, 30 kali terlibat operasi haji Tanah Suci

Mohamad Zamry (dua dari kiri) ketika bertemu agensi yang menguruskan jemaah haji.
Mohamad Zamry (dua dari kiri) ketika bertemu agensi yang menguruskan jemaah haji.
A
A
A

MAKKAH – [DIKEMASKINI] “Ini semua berkat doa jemaah haji.”

Demikian kata, Pengurus Khidmat Luar Tabung Haji (TH), Mohamad Zamry Mohd Noor yang telah 30 kali terlibat operasi haji di Tanah Suci sejak 40 tahun berkhidmat di TH.

Menurutnya, setiap kali jemaah hendak berangkat pulang ke Malaysia, petugas TH akan naik bas bertemu mereka untuk mengucapkan terima kasih.

“Saya selalu cakap pada mereka (jemaah haji), doakan kami (petugas haji) agar dapat datang lagi tunaikan haji tahun depan. Alhamdulillah, doa mereka itu makbul, saya terpilih bertugas di Tanah Suci setiap tahun.

“Itu bukan kerana saya hebat, tapi berkat doa jemaah yang kita santuni dengan ikhlas,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lanjut, Mohamad Zamry berkata, beliau memulakan kerjaya sebagai kerani TH di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada tahun 1985 sebelum dilantik sebagai Pengurus Cawangan TH di Setiu, Terengganu pada usia 29 tahun.

Mohamad Zamry (kiri) bersama Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun (tengah).
Mohamad Zamry (kiri) bersama Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun (tengah).

Sambil berkhidmat, beliau menyambung pelajaran sehingga berjaya menggenggam Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Open University Malaysia (OUM).

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudian meniti langkah demi langkah sehingga diberi amanah menggalas pelbagai jawatan penting seperti Pengarah Operasi Jeddah, Pengarah Operasi Makkah dan Pengarah Operasi Masyair yang menguruskan pergerakan jemaah haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Pengalaman awal sebagai petugas haji

Mohamad Zamry yang juga Penolong Pengurus Besar Pengurusan Haji TH berkata, pengalaman pertama sebagai petugas haji tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Ujarnya, setiap orang mempunyai cabaran masing-masing.

“Saya masih ingat, kali pertama saya datang sebagai petugas, saya ditugaskan ke Madinah. Waktu itu semua petugas lain dibawa ke Makkah tetapi saya diarahkan seorang diri untuk ke Madinah menaiki bas.

“Saya sedar, itu amanah. Walaupun takut, saya tetap teruskan. Zaman tu mana ada TikTok, tak ada gambar-gambar Masjid Nabawi macam sekarang. Gambar Masjid Nabawi pun saya tak pernah tengok.

Mohamad Zamry (dua dari kanan) ketika mengadakan perbincangan operasi haji bersama petugas haji.
Mohamad Zamry (dua dari kanan) ketika mengadakan perbincangan operasi haji bersama petugas haji.

“Macam-macam jadi dalam perjalanan tu. Yang saya tak boleh lupa, beg saya terjatuh dari bas namun daripada cabaran itulah saya bangkit. Bukan mudah nak sampai ke tahap ini. Kalau tanya mana-mana pengarah operasi hari ini, belum tentu mereka lalui proses seperti yang saya lalui,” katanya.

Masih terkenang saat pertama kali lihat Kaabah

Menurut Mohamad Zamry, sama seperti jemaah yang lain, saat pertama kali menjejakkan kaki di Tanah Suci dan melihat Kaabah adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

“Ya ALLAH bercahaya-cahaya bila tengok Kaabah. Sampai sekarang, saya masih terbayang-bayang suasana tu. Suatu pengalaman yang cukup menyentuh hati," katanya.

Selain berpengalaman menguruskan jemaah, Mohamad Zamry berkata, beliau juga menguruskan jenazah sejak mula bertugas sebagai petugas haji.

“Saya memang suka cabaran, masa tu, saya nekad nak belajar cara urus jenazah, nak tengok dari awal sampai akhir macam mana prosesnya.

“Dulu, kalau ada kematian di hospital, bukan senang nak urus jenazah. Jenazah akan disimpan dalam bilik sejuk. Tapi bilik sejuk zaman dulu lain sangat dengan sekarang.

“Sekarang, satu jenazah satu peti. Dulu, semua jenazah disusun atas bawah dalam satu bilik. Kadang-kadang sampai berpuluh jenazah dalam satu ruang,” katanya.

Katanya, tugas beliau untuk mengecam jenazah sebelum boleh dibawa keluar.

“Berdasarkan passport jemaah waktu itu saya camkan wajahnya, tengok hidung, misai betul ke tak. Kalau yakin, baru ambil dan bawa keluar.

“Lepas tu, kena hantar jenazah ke tempat mandi. Saya ni penakut. Jadi saya minta duduk depan dalam ambulans. Rupa-rupanya yang lain pun penakut juga. Jadi semua duduk depan, tiga jenazah di belakang,” ujarnya.

Menurutnya, pernah berdepan dengan jenazah yang tidak berkemampuan dan perlu dikebumikan.

“Waktu tu saya pun baru belajar Bahasa Arab, jadi nak beritahu keadaannya pun tak pandai dengan orang Arab. Saya cuma cakap, duit tak ada... miskin kepada penggali kubur di tanah perkuburan.

“Zaman dulu tak seperti sekarang, kini jemaah ada takaful yang semuanya diuruskan oleh pihak TH,” katanya.

Berkongsi pengalamannya mengurus jenazah, Mohamad Zamry berkata, dia juga pernah mengalami keadaan luar biasa.

“Lepas urus jenazah, biasanya saya akan balik bilik penginapan dan kadang ada rasa tak tenteram...rasa berdebar-debar. Kadang takut tapi saya ada cara nak hilangkan perasaan tu, saya mandi dan terus pergi buat tawaf sunat.

“Lepas tawaf, hati rasa tenang semula. Alhamdulillah, perasaan takut tu hilang. Itu antara pengalaman saya yang tak dapat saya lupakan.” katanya.

Mohamad Zamry (kanan) telah berkhidmat di Tabung Haji selama 40 tahun.
Mohamad Zamry (kanan) telah berkhidmat di Tabung Haji selama 40 tahun.

Tersentuh dengan nasib jemaah terkandas

Beliau turut berkongsi pengalaman berdepan isu 26 jemaah Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Jeddah pada tahun 2019 kerana menggunakan visa tidak sah.

“Mereka lengkap berpakaian ihram, duduk atas lantai dengan wajah letih dan bingung, ada yang menangis. Walaupun mereka bukan bawah seliaan TH, saya tetap bantu sebaik mungkin.

“Tetapi akhirnya mereka dihantar pulang ke Malaysia. Waktu tu saya sebak... sebab mereka cuma mahu tunai haji,” ujarnya.

Saksi pelbagai insiden besar

Selama empat dekad perkhidmatan, beliau menjadi saksi kepada pelbagai insiden besar termasuk wabak meningitis (1987), tragedi terowong Mina (1990), kebakaran khemah (1997) dan kren tumbang di Masjidil Haram (2015).

“Bila berlaku tragedi, kami petugas selalu berdebar. Tapi syukur, kebanyakan jemaah kita terselamat. Namun tetap ada yang terkorban. Saat-saat macam tu sangat menguji,” katanya.

Tidak pernah berhenti

Mohamad Zamry berkata, pernah jua beliau rasa ingin berhenti melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berat itu sebelum ini namun katanya, hasratnya itu terpadam apabila melihat wajah-wajah jemaah yang disantuni.

“Ya, saya manusia biasa. Ada juga rasa ingin berhenti bila ada tekanan dan cabaran. Tapi saya lihat matlamat saya nak beri perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

“Kalau kita mengalah, kita jatuh. Jadi saya terus melangkah,” katanya.

Oktober tahun ini genap usianya 60 tahun, Mohamad Zamry berkata, beliau akan bersara namun semangatnya tetap membara.

“Saya cuma mahu anak-anak saya meneruskan pekerjaan memberi khidmat kepada jemaah meskipun bukan berkhidmat di TH.

“Alhamdulillah seorang anak saya berminat meneruskan legasi,” katanya.

Kepuasan berkhidmat melebihi segalanya

Antara pengalaman paling manis, katanya, ialah apabila usaha beliau menyelesaikan aduan jemaah mengenai sistem pembesar suara yang tidak jelas di Arafah akhirnya membuahkan hasil.

“Saya mohon bajet daripada TH, beli peralatan audio baharu. Tahun lepas, seluruh kawasan khemah dapat dengar khutbah Arafah dengan jelas. Itulah nikmat sebenar kepuasan bekerja.

“Tugas sebagai pengarah operasi ni berat. Telefon 24 jam di tangan. Bahu kita memikul tanggungjawab besar, ribuan jemaah haji bergantung pada kita. Kita kena sentiasa bersedia, berkorban masa, tenaga, kadang-kadang perasaan sendiri pun diketepikan demi pastikan semua jemaah dapat layanan terbaik.

Saya bersyukur, kerana dari cabaran awal itulah saya dibentuk, hingga jadi seperti sekarang,” katanya.

Nasihat buat petugas haji

"Bagi saya, kerja sebagai petugas haji ni bukan kerja biasa. Ini satu amanah besar, bukan saja daripada majikan atau kerajaan, tapi paling utama sekali, amanah daripada jemaah haji sendiri.

“Mereka datang ke Tanah Suci dengan harapan besar nak dapat haji mabrur, nak sempurnakan rukun Islam yang terakhir. Jadi kita sebagai petugas, perlu bantu mereka dengan sebaik mungkin,” katanya

Tambahnya, perkara paling penting ialah kerja berpasukan.

Mohamad Zamry ketika melakukan pemeriksaan tandas yang digunakan jemaah haji di Arafah.
Mohamad Zamry ketika melakukan pemeriksaan tandas yang digunakan jemaah haji di Arafah.

“Kalau nak buat kerja seorang diri, tak akan ke mana. Tak akan berjaya. Kena ada koordinasi yang selaras, matlamat yang sama. Ketua Rombongan Haji selalu ingatkan kerja berpasukan menuju matlamat yang satu.

“Bukan setakat antara petugas sahaja, malah hubungan dengan jemaah pun kena baik. Biasanya, kalau kita petugas ni rapat dengan jemaah, saling memahami, insya-ALLAH apa saja masalah boleh diselesaikan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua petugas perlu sentiasa ingat tujuan sebenar ke Tanah Suci.

“Jangan leka. Jangan lalai. Kita datang bukan untuk melancong. Kita datang bawa tanggungjawab.

“Ya, memang penat memang letih. Tapi bila kita ingat balik tujuan kita, insya-ALLAH semangat akan datang semula. Kuncinya jaga hati, ikhlas bantu jemaah, buat kerja dengan tulus. Bila kita bantu orang dengan ikhlas, ALLAH akan bantu kita balik dengan cara yang kita tak sangka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!