Ketegangan India-Pakistan: Malaysia bersedia jika beras import terganggu

PARIT BUNTAR - Malaysia bersedia untuk meneroka peluang import tambahan beras dari beberapa negara pengeluar utama seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja bagi memastikan bekalan makanan ruji itu kekal stabil di pasaran tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan bekalan beras import sedia ada susulan ketegangan antara India dan Pakistan.
"Kita boleh rundingkan lagi dengan Vietnam, Thailand dan Kemboja untuk peningkatan (import).
"Kemboja pun ada lebihan beras dan padi. Saya sendiri sudah buat lawatan ke sana dan mereka mengalu-alukan kerjasama, termasuk dari syarikat swasta Malaysia untuk buka kilang di negara mereka,” katanya kepada pemberita sempena perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di sini pada Selasa.
Perasmian pusat tersebut disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurut Mohamad, kira-kira 38 peratus bekalan beras import Malaysia diperoleh daripada India dan Pakistan merangkumi beras putih dan beras basmati.
Katanya, ketika ini tiada gangguan terhadap kemasukan beras dari dua negara tersebut, namun kerajaan tetap memantau perkembangan geopolitik antara dua negara itu yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan.
“Sekarang ini belum ada masalah, tetapi kalau berlaku peperangan dan pelabuhan serta jentera mesin di negara mereka terjejas, maka kita kena bersedia.
"Saya percaya kedua-dua pihak pun tidak mahu berperang. Malah sekarang ini Rusia dan Iran sedang mainkan peranan sebagai orang tengah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

