India, Pakistan bertempur semula di sempadan Kashmir

Imej satelit menunjukkan Markaz Taiba di Muridke, Pakistan selepas serangan peluru berpandu India pada Rabu. AFP
Imej satelit menunjukkan Markaz Taiba di Muridke, Pakistan selepas serangan peluru berpandu India pada Rabu. AFP
A
A
A

SRINAGAR - India dan Pakistan bertempur semula di sempadan Kashmir lewat malam Rabu, sehari selepas tercetusnya keganasan terburuk antara dua negara bersenjata nuklear itu dalam tempoh dua dekad.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berikrar untuk menuntut bela selepas India melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sembilan kem 'pengganas' di wilayah Pakistan.

Insiden itu dipercayai susulan serangan ke atas pelancong di Pahalgam, Kashmir yang didakwa didalangi kumpulan berpangkalan di Pakistan.

"Setitis darah para syuhada ini akan kami balas," kata Sharif dalam ucapan kepada rakyat.

Serangan pada Rabu itu menyebabkan sekurang-kurangnya 43 orang maut di kedua-dua belah sempadan termasuk kanak-kanak.

Islamabad mendakwa 31 orang awam terbunuh akibat tembakan dan serangan India, manakala New Delhi pula memaklumkan 12 orang maut akibat tembakan balas Pakistan.

Tentera Pakistan turut mendakwa menembak jatuh lima jet pejuang India, namun India hanya mengesahkan tiga pesawatnya terhempas di wilayah sendiri tanpa memberi butiran lanjut.

Salah satu serangan paling besar India dilaporkan menyasarkan sebuah madrasah berhampiran Bahawalpur di Punjab yang mengorbankan 13 orang, menurut tentera Pakistan.

Manakala di Poonch, Kashmir yang dikuasai India menyaksikan dua kanak-kanak terbunuh akibat serpihan bom.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Tentera Pakistan, Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry berkata, mereka telah diberi kuasa untuk bertindak balas pada 'masa, tempat dan cara yang dipilih'.

Tentera India pula mengesahkan telah menggunakan senjata ringan dan meriam dalam beberapa lokasi sepanjang malam.

Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh mempertahankan serangan itu sebagai hak negara untuk bertindak balas terhadap ancaman.

Sementara itu, tekanan antarabangsa semakin meningkat agar kedua-dua negara menurunkan ketegangan, termasuk seruan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump agar konfrontasi dihentikan segera. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!