21 anggota ATM di India, Pakistan selamat - Menteri Pertahanan

KOTA TINGGI - Seramai 21 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang mengikuti kursus ketenteraan di Pakistan dan India disahkan berada dalam keadaan selamat, meskipun ketegangan ketenteraan antara dua negara itu semakin memuncak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, seramai 18 anggota berada di kolej ketenteraan di India, manakala tiga lagi di kolej ketenteraan di Pakistan.
“Kesemua mereka tidak berada di kawasan konflik atau lokasi yang terlibat dengan serangan sempadan antara Pakistan dan India. Mereka selamat dan majoritinya dijangka menamatkan kursus pada akhir tahun ini.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan semasa di kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan anggota dan pegawai ATM sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Boustead Plantations Berhad, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh.
Sebelum ini, media melaporkan ketegangan antara India dan Pakistan kini memuncak selepas tentera India didakwa telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas tiga lokasi di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Agensi berita Reuters melaporkan kejadian tembakan artileri berat dan letupan kuat di beberapa kawasan sempadan di Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Ini selepas India mengumumkan telah melancarkan serangan ke atas 'infrastruktur pengganas' di sembilan lokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

