Anjing liar boleh jadi produk pelancongan - NGO

Syed Ariffin (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum kepada wakil MPPD untuk menggesa isu anjing liar di daerah itu diselesaikan secara menyeluruh.
Syed Ariffin (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum kepada wakil MPPD untuk menggesa isu anjing liar di daerah itu diselesaikan secara menyeluruh.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan anjing liar yang ditangkap supaya divaksin sebelum dijadikan sebahagian daripada produk pelancongan seperti Cat Paradise di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Pengerusi Persekutuan Generasi Bersekutu Negeri Sembilan, Syed Ariffin Abu Thahir berkata, haiwan berkenaan juga boleh diberi latihan untuk digunakan dalam operasi menyelamat dan penguatkuasaan.

"Port Dickson sebagai bandar pelancongan boleh diperluaskan bukan hanya tertumpu kepada pantai menarik tapi tarikan baharu seperti pusat perlindungan anjing liar.

"Manakala dengan memberikan latihan kepada anjing liar ini dapat memberi penjimatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi lain yang terpaksa mengimport anjing dari luar negara untuk tujuan operasi menyelamat dan penguatkuasaan," katanya ketika sesi penyerahan memorandum kepada Majlis Perbandaran Port Dickson Dickson (MPPD) menggesa isu haiwan liar terutama anjing ditangani secara menyeluruh pada Jumaat.

Syed Ariffin
Syed Ariffin

Katanya, hampir setiap hari terdapat kes baharu dilaporkan membabitkan anjing liar namun tiada penyelesaian multak kepada permasalahan itu.

"Bukan sahaja anjing liar ini mengancam keselamatan penduduk tetapi juga mengganggu haiwan peliharaan lain seperti kucing dan ayam.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedar MPPD ada melakukan operasi penangkapan anjing liar namun operasi setahun sekali atau dua kali setahun tidak memadai menangani isu besar yang mencemarkan nama baik Port Dickson sebagai destinasi pelancongan lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Beliau menggesa, operasi penangkapan dijalankan sekerap mungkin atau sebulan sekali dengan kerjasama NGO dan kumpulan pencinta haiwan dengan menempatkan anjing liar ini di lokasi dikenal pasti seperti rumah jagaan haiwan.

"Kita boleh mengambil contoh program Stay Free Selangor yang mana kerajaan negeri bekerjasama dengan NGO pencinta haiwan untuk pensterilan, penempatan serta pendidikan.

"Langkah sama turut dilaksanakan di Kedah dan Pulau Pinang," ujar beliau.

Selain itu katanya, program Trap Neuter Return (TNR) perlu diamalkan kerana merupakan inisiatif berkesan untuk mengawal populasi anjing liar.

"Wujudkan juga program adoptasi haiwan dibuka kepada orang awam agar anjing ini ada penjaganya yang perlu memastikan haiwan peliharaan ini divaksin serta selamat.

"Pendidikan kepada komuniti juga perlu diteruskan mengenai cara berinteraksi dengan anjing liar, bahaya membuang haiwan peliharaan serta larangan memberi makanan kerana akan menambahkan populasi haiwan tersebut," katanya.

Tegasnya, tindakan menyeluruh menangani lambakan anjing liar di daerah itu perlu dilakukan dengan pendekatan bertanggungjawab, perikemanusiaan dan mematuhi undang-undang tempatan.

Katanya, penglibatan semua pihak dari MPPD, Malaysia Independent Animal Rescue (MIAR), Jabatan Perhilitan, Ahli Majlis, ADUN, NGO, kumpulan pencinta haiwan serta sukarelawan perlu dilakukan agar dapat dilaksanakan tindakan menyeluruh seterusnya menoktahkan isu tersebut.

Berkenaan pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu seperti dicadangkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, beliau berpandangan pelaksanaannya tidak dapat menyelesaikan masalah itu secara keseluruhan.

Ini kerana masalah anjing liar bukan bersifat statik dan tertumpu kepada sesuatu kawasan sahaja malah isu serangan anjing liar turut dihadapi semua kaum.

Penghapusan anjing liar di kawasan Melayu juga menyebabkan haiwan itu berpindah ke habitat lain yang menyebabkan masalah itu tidak menemui penyelesaian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!