Negeri Sembilan ambil langkah bijak lupus anjing liar

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai ADUN Negeri Sembilan sepakat melaksanakan pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai ADUN Negeri Sembilan sepakat melaksanakan pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menerima pujian atas keputusan melaksanakan pelupusan anjing liar sebagai langkah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.

Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan menyifatkan langkah kawalan tersebut wajar dicontohi oleh kerajaan negeri lain memandangkan isu anjing liar semakin membimbangkan.

“Secara sah, puluhan ribu laporan rasmi berkenaan serangan anjing liar dilaporkan di seluruh negara, termasuk kes melibatkan kecederaan parah dan kematian.

“Sudah tiba masanya keselamatan 32 juta rakyat negara ini dipelihara berbanding melayani tuntutan kumpulan kecil pencinta anjing liar yang tidak pernah tampil bertanggungjawab terhadap kes-kes kritikal membabitkan serangan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, tidak semua perkara wajar ditentukan oleh tekanan kumpulan NGO yang tidak menawarkan sebarang penyelesaian berkesan ketika berdepan kes serangan anjing liar.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang berlangsung pada Rabu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebulat suara bersetuju agar kaedah pelupusan anjing liar di kawasan majoriti penempatan Melayu dilaksanakan, susulan masalah yang semakin tidak terkawal walaupun pelaksanaan program pemandulan masih diteruskan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kehadiran terlalu banyak anjing liar telah mengganggu urusan harian penduduk dan isu tersebut sering dibangkitkan seolah-olah tiada tindakan sewajarnya diambil kerajaan.

Persatuan Haiwan Malaysia menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi boleh berkompromi dalam hal melibatkan keselamatan awam, terutamanya membabitkan nyawa golongan seperti kanak-kanak, penghantar makanan, wanita mengandung, warga emas dan pelajar sekolah.

Menurut kenyataan itu, sudah tiba masanya jabatan-jabatan kerajaan berkaitan mengemukakan data rasmi berhubung serangan anjing liar kepada umum.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri boleh mendapatkan data dan pandangan serius mengenai kesan serangan daripada agensi pelaksana seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar UPM dan UMK, Majlis Keselamatan Negara, serta melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Persatuan itu turut menggesa agar setiap keputusan dibuat berdasarkan rasionalisasi dan bukan semata-mata atas dasar emosi.

“Sekiranya pencinta anjing liar menganggap haiwan itu sebagai sebahagian keluarga, maka kaedah ‘Trap-Neuter-Adopt’ (TNA) harus dilaksanakan, menjadikan anjing liar sebagai haiwan peliharaan yang dijaga dan tinggal di rumah, bukan dibiarkan di jalanan.

“Tidak ada keluarga yang dibiarkan berhujan dan berpanas di jalanan. Jika benar mereka keluarga, maka mereka perlu dipelihara seperti di rumah kebajikan, dengan makanan, perlindungan dan keselamatan yang terjamin,” ujarnya.

Langkah tersebut, katanya, mampu mengelakkan konflik dan risiko lain terhadap anjing liar termasuk penganiayaan serta kemalangan jalan raya.

“Jangan jadikan kasih sayang dan keprihatinan peribadi kita sebagai beban kepada masyarakat. Inilah yang dinamakan kebajikan yang sebenar,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!