ADUN Negeri Sembilan sepakat laksana pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan sebulat suara bersetuju bahawa kaedah pelupusan anjing liar di kawasan majoriti penempatan Melayu perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu kacau ganggu dan keselamatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, lambakan anjing liar telah mengganggu urusan harian penduduk. Isu yang sama juga sering kali dibangkitkan setiap kali berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengatasi permasalahan tersebut.

“Kita hanya tumpukan kepada kawasan majoriti Muslim supaya tidak mengganggu urusan harian mereka yang hendak ke masjid dan ke sekolah. Anjing ini tidak diberi makan, akhirnya mengganggu kesejahteraan masyarakat setempat dan inilah yang menjadi kebimbangan kita.

“Pelaksanaan pemandulan anjing liar masih diteruskan, tetapi kita lihat anjing liar di kawasan Melayu semakin tidak terkawal. Setiap kali sidang DUN, isu yang sama dibangkitkan seolah-olah kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan. Jadi, saya perlukan sokongan majoriti ADUN untuk menyelesaikan isu ini,” katanya pada Sidang DUN pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan ADUN Sri Tanjung, Dr G Rajasekaran mengenai isu haiwan liar seperti monyet dan anjing liar yang sering dibangkitkan tetapi tiada tindakan berkesan diambil.

ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker yang mewakili blok pembangkang menyokong supaya penyelesaian terhadap isu anjing liar dicari dan bersetuju agar tindakan lebih tegas diambil.

Manakala ADUN Chuah, Yew Boon Lye mencelah dengan memberitahu bahawa kes anjing liar bukan sahaja berlaku di kawasan Melayu, malah turut berlaku di kawasan bukan Melayu. Justeru, beliau berharap tindakan itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Sementara itu, ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata isu anjing liar bukan hanya dihadapi oleh kaum Melayu sahaja, malah pihaknya turut menerima banyak aduan daripada kalangan bukan Melayu yang berdepan masalah dikejar anjing liar ketika berjoging.

Artikel Berkaitan:

ADUN Lobak, Chew She Yong pula mencadangkan supaya diberikan tempoh sebulan sebelum pelupusan dilakukan bagi memberi ruang kepada pencinta haiwan yang berminat untuk mengadopsi haiwan berkenaan, memandangkan setiap rumah dibenarkan memelihara dua ekor anjing.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, kaedah pelupusan itu akan ditumpukan di kawasan majoriti Melayu terlebih dahulu supaya isu sensitif itu dapat dikurangkan sebelum diperluaskan ke kawasan lain termasuk tempat riadah dan lokasi awam.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah boleh ambil tanggungjawab dan saya maklum akan ada NGO yang akan membuat bantahan. Saya harap mereka faham bahawa terdapat kemalangan berlaku disebabkan anjing liar yang melibatkan nyawa dan keselamatan orang awam.

“Jadi, saya harap mereka faham bahawa kerajaan negeri bukan mahu melupuskan semua, tetapi hanya sebahagian anjing liar di kawasan yang memberikan ancaman kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman memutuskan bahawa kaedah pelupusan sebahagian anjing liar di kawasan penempatan Melayu telah mendapat persetujuan sebulat suara daripada Ahli Dewan dan cara serta perincian kaedah akan diserahkan kepada Exco untuk tindakan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!