'Kawalan anjing liar tak mudah, ada pihak bantah'

Laporan Sinar Harian mengenai kes seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat diserang kira-kira 11 ekor anjing liar di kawasan Terminal Bas Kunak, Sabah pada Sabtu lalu. Gambar kecil: Muhammad Akram
Laporan Sinar Harian mengenai kes seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat diserang kira-kira 11 ekor anjing liar di kawasan Terminal Bas Kunak, Sabah pada Sabtu lalu. Gambar kecil: Muhammad Akram
A
A
A

KOTA KINABALU - Perbincangan akan dilakukan bersama pihak berkaitan termasuk Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) berhubung isu bagaimana mengawal populasi anjing liar di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, perkara itu masih belum diputuskan kerana melibatkan banyak pihak.

"Belum lagi (diputuskan). Kawalan anjing ini bukan mudah, bila kita mahu kawal ada bantahan daripada pihak tertentu. Itu yang ada masalah sikit.

"Kita ada berbincang dengan SPCA dan pihak berkenaan bagaimana untuk melakukan pengurusan anjing liar dan juga bagaimana untuk kawal populasi haiwan tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai inisiatif kerajaan berhubung isu anjing liar susulan kejadian seorang wanita warga emas maut akibat diserang anjing liar di Kunak baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, wanita berusia 60-an dipercayai dikerumuni dan diserang oleh kira-kira 11 ekor anjing liar dan kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Terminal Bas Kunak.

Untuk rekod, pada November tahun lalu seorang kanak-kanak berusia dua tahun turut ditemui maut akibat diserang anjing liar dalam kejadian di Kampung Sungai Tohok, Semporna.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!