Larangan aibkan individu guna AI

Penyalahgunaan teknologi itu cemar maruah insan, Islam menegah keras perbuatan hina tersebut

PENGGUNAAN teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) seharusnya dimanfaatkan untuk kebaikan, bukan disalah guna bagi tujuan keji atau mengaibkan.
PENGGUNAAN teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) seharusnya dimanfaatkan untuk kebaikan, bukan disalah guna bagi tujuan keji atau mengaibkan.
A
A
A

DALAM era digital kini, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) seharusnya dimanfaatkan untuk kebaikan, namun realitinya ia turut disalahgunakan bagi tujuan keji.

Terbaharu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kulai, Johor atas pertuduhan menyunting gambar pelajar perempuan menggunakan teknologi AI sehingga menjadi bahan lucah.

Sebelum ini, seramai 38 pelajar di daerah sama dilaporkan menjadi mangsa apabila wajah mereka digunakan dalam gambar lucah yang tular di laman sosial, selain dijual RM2 sekeping.

Situasi itu membimbangkan apatah lagi pelaku ialah golongan bawah umur.

Sejauh mana umat Islam memahami batasan etika dalam dunia digital? Bagaimana pandangan Islam terhadap perbuatan mengaibkan individu menggunakan teknologi itu?

Dosa besar

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad.

Artikel Berkaitan:

DR SITI NORLINA
DR SITI NORLINA

Beliau menjelaskan, menyunting gambar untuk mengaibkan individu tetap dikira dosa besar dalam Islam.

“Dari sudut pandang Islam, penghasilan gambar lucah secara palsu tetap satu dosa besar. Jika diikutkan, lebih teruk kesannya berbanding gambar asal.

“Masakan tidak, jika melibatkan gambar asal, ia berlaku secara sedar. Namun, kalau buat cara palsu, ia memberi kesan sangat buruk kepada masyarakat,“ katanya.

Beliau menegaskan, maruah manusia adalah prinsip penting dalam maqasid syariah dan tidak boleh dijadikan bahan gurauan.

“Maruah ni satu perkara yang penting. Ia tak boleh dipermainkan walau atas alasan jenaka sekalipun.

“Apatah lagi bila disebarkan gambar lucah palsu, ia menyebabkan fitnah, pembohongan dan penghinaan terhadap maruah individu,“ tegasnya.

MENYUNTING gambar untuk mengaibkan individu tetap dikira dosa besar dalam Islam. -Foto: CANVA
MENYUNTING gambar untuk mengaibkan individu tetap dikira dosa besar dalam Islam. -Foto: CANVA

Meskipun tubuh sebenar mangsa tidak terlibat dalam gambar suntingan tersebut, jelas Dr Siti Norlina, kesannya terhadap reputasi dan emosi mereka tetap mendalam.

“Bayangkan seorang yang baik dan berakhlak mulia, tiba-tiba diperlakukan sebegitu. Sudah tentu ia memberi kesan trauma yang teruk kepada mangsa,“ katanya.

Dr Siti Norlina kemudian merujuk ayat ke-36 surah al-Isra‘ agar tidak mengikuti sesuatu tanpa pengetahuan kerana pendengaran, penglihatan dan hati akan dipertanggungjawabkan.

“Jadi kalau main suka-suka ataupun hendak bergurau lakukan (sunting gambar lucah guna AI) itu pun, ALLAH akan tanya kenapa dia gunakan tangannya, akal cerdik diberikan ALLAH kepadanya untuk mengkhianati dan menzalimi orang lain,“ terangnya.

JAGALAH adab dan etika dalam berinteraksi secara digital kerana setiap interaksi di dunia maya memberi kesan besar kepada diri sendiri serta orang lain. -Foto: CANVA
JAGALAH adab dan etika dalam berinteraksi secara digital kerana setiap interaksi di dunia maya memberi kesan besar kepada diri sendiri serta orang lain. -Foto: CANVA

Benarkah perbuatan seperti itu boleh dianggap sebagai ‘zina digital‘?

Menjawab persoalan itu, Dr Siti Norlina menyetujuinya dan menjelaskan, walaupun tidak berlaku sentuhan fizikal, perbuatan itu tetap melibatkan pancaindera yang dirangsang dengan melihat, mendengar atau membayangkan perkara maksiat.

“Walaupun tanpa melakukan sentuhan fizikal, perbuatan itu tetap membabitkan nafsu dan khayalan. Ia sama seperti zina mata dan zina hati sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW.

“Bila kita menggunakan pancaindera untuk menikmati benda yang ALLAH haramkan, ia tetap dikira dosa. Ini kerana kita merangsang nafsu dan mencemarkan fitrah hati yang suci,“ tegas beliau.

Hukuman, taubat nasuha

Walaupun pelaku dihukum dari segi undang-undang, ia tidak mencukupi seandainya tidak disertai dengan taubat nasuha.

“Dari perspektif Islam, tujuan utama hukuman itu adalah untuk mendidik. Islam lebih mengutamakan pemulihan jiwa individu melalui taubat yang sebenar-benarnya,“ ujar beliau.


GUNAKAN media sosial dan platform digital untuk memberi manfaat dan hindari ketagihan dunia maya yang boleh merosakkan kesihatan mental serta moral. -Foto: CANVA
GUNAKAN media sosial dan platform digital untuk memberi manfaat dan hindari ketagihan dunia maya yang boleh merosakkan kesihatan mental serta moral. -Foto: CANVA

Pensyarah itu menambah, pendekatan Islam dalam kesalahan seperti itu menitikberatkan kasih sayang, penginsafan dan peluang untuk individu berubah, bukan sekadar membalas kesalahan.

Beliau mengingatkan, sekiranya pelaku sukar bersemuka dengan mangsa untuk meminta maaf, usaha tetap perlu dilakukan, walaupun melalui orang tengah dan taubat kepada ALLAH SWT mesti dipohon dengan bersungguh-sungguh.

“Kalau mangsa tak mahu memaafkan, itu hak dia. Bagaimanapun, pelaku tetap wajib mohon ampun kepada ALLAH dengan sungguh-sungguh,“ katanya.

Sebelum menoktahkan bicara, Dr Siti Norlina menyeru masyarakat terutamanya golongan muda untuk lebih bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi.

“Kita kena sedar bahawa setiap interaksi di dunia maya memberi kesan besar kepada diri sendiri dan orang lain. Jagalah adab dan etika dalam berinteraksi secara digital,“ ujar pensyarah itu.

INGATLAH, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) sepatutnya digunakan secara berhemah untuk mempercepatkan pembelajaran dan meningkatkan kecerdasan diri, bukan bertujuan menambah dosa. -Foto: CANVA
INGATLAH, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) sepatutnya digunakan secara berhemah untuk mempercepatkan pembelajaran dan meningkatkan kecerdasan diri, bukan bertujuan menambah dosa. -Foto: CANVA

Beliau turut mengingatkan supaya AI digunakan secara berhemah untuk mempercepatkan pembelajaran dan meningkatkan kecerdasan diri, bukannya menambah dosa.

“Gunakan media sosial dan platform digital untuk memberi manfaat. Hindari ketagihan dunia maya yang boleh merosakkan kesihatan mental dan moral,“ titipnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!