AI: Dunia terperangkap antara peluang dan ancaman

DUNIA kini berada di persimpangan getir apabila perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) melangkaui jangkaan, mewujudkan percaturan baharu antara peluang ekonomi dan kebimbangan keselamatan global.
Dalam laporan terbaru Forum Ekonomi Dunia (WEF), AI disenaraikan sebagai antara risiko terbesar yang dihadapi umat manusia menjelang 2030, menyaingi isu perubahan iklim dan krisis ekonomi global.
Seiring dengan itu, AI dijangka menyumbang sehingga AS$4.4 trilion (RM20.9 trilion) kepada ekonomi dunia setiap tahun, mengubah landskap industri kesihatan, pembuatan, pertanian dan pendidikan.
Teknologi AI sumber terbuka seperti model Llama terbitan Meta menunjukkan lonjakan penggunaan yang luar biasa, dimuat turun lebih satu bilion kali dalam tempoh kurang dua tahun, mencetuskan ledakan inovasi tanpa sempadan.
Bagaimanapun, ledakan ini turut membayangkan risiko yang tidak kecil.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan sehingga 300 juta pekerjaan di seluruh dunia terdedah kepada impak automasi dan AI, memburukkan jurang ketidaksamaan ekonomi antara golongan berkemahiran tinggi dan rendah.
Dalam sektor ketenteraan, penggunaan AI dalam operasi ofensif oleh negara seperti Israel menimbulkan kebimbangan serius terhadap ketelusan dan pengawalan penggunaan teknologi maut ini.
Tokoh tersohor dalam bidang AI, Geoffrey Hinton, turut meluahkan rasa bimbang bahawa AI mungkin mencapai ‘superintelligence’ melebihi kebijaksanaan manusia dalam masa terdekat, berpotensi menimbulkan krisis kehilangan kawalan ke atas mesin pintar.
Negara-negara utama dunia juga mengambil pendekatan berbeza terhadap pembangunan AI.
China misalnya, mempercepatkan pelaburan dalam AI tempatan, menggesa pembangunan teknologi yang bebas daripada pengaruh Barat demi kelangsungan nasional mereka.
Sebaliknya, Amerika Syarikat masih mengekalkan pendekatan pasaran bebas, dengan syarikat-syarikat teknologi gergasi memacu pembangunan AI tanpa kawalan persekutuan yang ketat.
Manakala Kesatuan Eropah pula mengetengahkan prinsip AI yang beretika, memperkenalkan undang-undang baharu untuk mengawal penggunaan AI secara ketat demi melindungi hak asasi manusia dan keselamatan data.
Kajian oleh firma KPMG mendapati lebih separuh pekerja di seluruh dunia menggunakan AI di tempat kerja tanpa pengetahuan majikan mereka, sementara hanya 47 peratus menerima latihan rasmi berkaitan teknologi itu.
Situasi ini membuktikan wujud jurang besar dalam literasi AI, sekali gus meningkatkan risiko penyalahgunaan, kebocoran data dan kebergantungan buta terhadap sistem automatik.
Pada masa sama, dunia menghadapi ancaman penyebaran maklumat palsu yang semakin sukar dibendung akibat penggunaan AI dalam penciptaan kandungan digital, memperkukuhkan lagi risiko ketidakstabilan sosial dan politik.
Mengulas perkara itu, WEF menegaskan keperluan mendesak bagi kerajaan, industri dan masyarakat antarabangsa untuk memperkukuh kerjasama dalam membangunkan standard keselamatan global berkaitan AI.
Langkah ini termasuk memperkenalkan sistem amaran awal terhadap perkembangan AI berbahaya, memperketatkan penyelidikan beretika serta melabur dalam program literasi AI di semua peringkat.
Walaupun potensi AI untuk mempertingkatkan kehidupan manusia tidak boleh dinafikan, kegagalan menguruskan risikonya berupaya mencetuskan ketidakstabilan besar pada masa depan.
Dunia kini tiada pilihan lain selain mempercepatkan usaha mencari imbangan antara inovasi dan keselamatan, agar era AI dapat menjadi landasan kemajuan, bukan ancaman kepada masa depan manusia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!