Gagal SPM bukan noktah kehidupan

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada 24 April lalu mencatat sejarah tersendiri apabila ia dinobatkan sebagai keputusan terbaik sejak tahun 2013.
Sebanyak 94 peratus daripada 378,256 calon layak menerima sijil, manakala Gred Purata Nasional (GPN) mencatat peningkatan ketara kepada 4.49, berbanding 4.60 pada tahun sebelumnya.
Lebih membanggakan, seramai 14,179 calon berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.
Pencapaian ini membuktikan usaha gigih pelajar, guru yang berdedikasi dan ibu bapa yang terus menjadi tulang belakang sistem pendidikan negara.
Namun, dalam setiap musim keputusan, kita tidak boleh terus-menerus menilai nilai insan hanya berdasarkan gred atas sehelai kertas.
SPM, walaupun penting sebagai indikator akademik awal, bukanlah penentu mutlak masa depan seseorang. Ia hanyalah satu permulaan dalam laluan panjang kehidupan yang sebenar.
Dalam dunia hari ini, kejayaan datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang berjaya melalui laluan akademik, ada yang menyerlah melalui kemahiran teknikal, malah tidak kurang yang membina empayar melalui kreativiti, keberanian dan ketekunan.
Kita perlu berhenti menghakimi mereka yang tidak memperoleh keputusan cemerlang. Gagal dalam SPM bukan bererti gagal dalam hidup.
Di luar sana, banyak laluan alternatif menanti, dari program kemahiran teknikal dan vokasional, hingga peluang keusahawanan dan kerjaya yang tidak bergantung sepenuhnya kepada kelulusan akademik.
Apa yang lebih penting ialah kesungguhan untuk terus belajar, kecekalan menghadapi cabaran dan keinginan untuk berubah.
Pelajar yang tidak berjaya harus digalakkan untuk mencuba semula, menyertai program latihan atau mengambil peluang kedua dalam peperiksaan akan datang. Masyarakat dan sistem pendidikan pula harus menjadi penyokong, bukan penghukum.
Keputusan SPM tidak harus dijadikan sempadan nilai diri seorang anak muda. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai satu proses pembelajaran, sama ada berjaya atau gagal yang akhirnya membentuk watak dan keutuhan seseorang.
Semua anak bangsa berhak diberi peluang kedua. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya tahu menghitung A, tetapi kosong semangatnya.
Kita mahu generasi yang tahu erti usaha, bangkit dari jatuh, dan terus melangkah walaupun langkahnya perlahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
