SPM 2024: 14,179 pelajar peroleh semua A

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan bercakap dalam sidang akhbar pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di sini pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan bercakap dalam sidang akhbar pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di sini pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 14,179 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 atau 3.7 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus atau 2,446 calon berbanding tahun 2023 iaitu 11,713 calon.

Ia sekali gus menunjukkan keputusan terbaik sejak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan syarat wajib lulus bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah pada tahun 2013.

"Bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024 turut menunjukkan peningkatan 0.4 peratus iaitu seramai 86,040 berbanding 83,112 calon pada tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar keputusan SPM 2024, di sini pada Khamis.

Menurutnya, seramai 136,791 calon (36.1 peratus) telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2024 berbanding 131,489 calon atau 35.2 peratus pada tahun 2023.

"Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 5,302 calon 0.9 peratus," kata beliau.

Ujar Azman, pencapaian sekolah harian amat membanggakan setanding Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Jelasnya, faktor kejayaan itu berkait rapat dengan pemerkasaan guru melalui latihan berimpak tinggi selain pengukuhan pengurusan akademik sekolah serta pendekatan pemantauan berasaskan data.

Artikel Berkaitan:

“Intervensi seperti pelaksanaan Program Transformasi Sekolah 2025, latihan dalam komuniti, pembelajaran profesional dan pemantapan bimbingan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut meningkatkan kompetensi guru serta kualiti pembelajaran di sekolah harian.

“Peningkatan ini secara tidak langsung membuktikan murid di semua kategori sekolah mampu mencapai kecemerlangan apabila mendapat sokongan dan persekitaran pembelajaran kondusif,” katanya.

Azman berkata, indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) tahun 2024 adalah 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada tahun 202, iaitu mengecil sebanyak 0.11 mata.

"Pada keseluruhannya pencapaian calon peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah amat membanggakan berdasarkan indeks GPK yang semakin mengecil berbanding tahun-tahun lepas," katanya.

Menyentuh mengenai pencapaian calon di bandar dan luar bandar, Azman berkata keputusan SPM 2024 juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.11 mata iaitu 4.47 mata pada tahun 2024 berbanding 4.58 mata pada tahun 2023.

"Pencapaian calon di luar bandar juga meningkat sebanyak 0.09 mata iaitu 4.92 mata pada tahun 2024 berbanding 5.01 mata pada tahun 2023.

"Perbezaan jurang pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar pada tahun 2024 dan 2023 adalah kecil iaitu sebanyak 0.02 mata," katanya.

Bagi prestasi mata pelajaran, sebanyak 59 daripada 95 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan dan 30 subjek merekodkan penurunan.

"Dalam peperiksaan SPM Tahun 2024, enam daripada tujuh mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan prestasi manakala mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.07 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu 4.73 berbanding tahun lalu, 4.66," katanya.

Bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Sains Tulen dan Matematik Tambahan, semua mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi.

Mata pelajaran Kimia telah mencatatkan peningkatan prestasi yang tertinggi sebanyak 0.37 mata GPMP, iaitu 4.52 mata pada tahun 2024 berbanding 4.89 mata pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, mata pelajaran elektif STEM iaitu Sains Gunaan dan Teknologi, sebanyak 11 daripada 12 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi.

"Mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan telah menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.38 mata GPMP, iaitu 3.97 mata pada tahun 2024 berbanding 4.35 mata pada tahun 2023.

"Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Mekanikal menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.16 mata GPMP, iaitu 4.39 mata pada tahun 2024 berbanding tahun 2023, 4.23 mata," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, seramai 355,933 calon iaitu 94 peratus layak diberikan sijil SPM pada tahun ini berbanding 349,297 calon pada tahun 2023.

"Angka ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 6,636 calon atau 0.5 peratus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!