Anak muda berpendidikan tinggi pilih profesion gunting rambut

SHAH ALAM - Jika suatu ketika dahulu bidang seperti kedoktoran, kejuruteraan dan pendidikan menjadi pilihan utama, kini semakin ramai anak muda berpendidikan tinggi memilih untuk menceburi bidang yang lebih praktikal dan kreatif antaranya menjadi tukang gunting rambut.
Salah seorang anak muda, Muhammad Musyrif Amni Mohd Nizam, 21, berkata, bidang berkenaan bukan lagi dianggap sebagai kerja biasa sebaliknya diangkat sebagai satu bentuk kesenian yang memerlukan kemahiran halus, kreativiti dan ketelitian.
Beliau yang memiliki Diploma Akaun daripada Kolej Poly-Tech Mara dan kini menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, ramai anak muda termasuk graduan universiti menunjukkan minat dalam bidang tersebut yang menjamin pendapatan tetap serta lumayan.
Turut dikenali dengan nama Draco Acip, beliau berkata, kebanyakan mereka sanggup menghadiri kursus-kursus gunting rambut, menyertai pertandingan dan berkongsi hasil kerja mereka khususnya di media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube.
"Malah mereka juga bijak dalam aspek pengurusan, pemasaran dan komunikasi. Dengan pengetahuan dalam bidang perniagaan, mereka boleh mengurus kedai gunting rambut atau barber shop dengan lebih sistematik," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut menggunakan teknologi digital untuk urusan tempahan janji temu pelanggan secara dalam talian serta menjalankan promosi secara kreatif di media sosial.
"Ramai juga sudah berjaya menjenamakan perkhidmatan dengan cara tersendiri. Ada yang tampil dengan konsep barber shop moden atau bertema klasik sehinggalah perkhidmatan gunting rambut bergerak atau mobile barber.
"Ini menunjukkan pendidikan tinggi bukan penghalang untuk menceburi bidang ini, sebaliknya menjadi nilai tambah sangat berharga," katanya.

Beliau menambah, profesion sebagai tukang gunting rambut juga dianggap bidang yang tahan lama dan sentiasa relevan kerana masyarakat tetap memerlukan khidmat penjagaan diri berkenaan.
Menurutnya, ramai anak muda yang menjadi tukang gunting rambut sudah menjadi usahawan berjaya, malah ada yang membuka lebih daripada satu cawangan.
"Ini sekali gus turut membantu merangsang ekonomi dan juga memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya.
Muhammad Musyrif Amni yakin pendidikan yang ada akan membantunya menguruskan perniagaan dan kewangan dengan baik.
"Minat saya bermula dengan memotong rambut rakan-rakan dan kini menjadi sumber pendapatan sampingan saya," katanya yang menanam hasrat mendalami kemahiran menggunting rambut di luar negara.
"Simpanan yang ada akan digunakan untuk mengikuti kursus jangka pendek di negara terkenal dengan fesyen rambut seperti Paris atau London School of Barbering di United Kingdom (UK) kerana ia akan memberi lebih keyakinan kepada bakal pelanggan saya nanti," katanya.
Anak muda ini turut bercita-cita membuka kedai sendiri dengan nama Draco Acip Barber selepas selesai pengajiannya kelak.
Muhammad Musyrif Amni juga sedang menyiapkan aplikasi yang membolehkan pelanggan menempah slot menggunting rambut tanpa perlu menunggu lama, selain boleh mengetahui waktu operasi tanpa perlu ke kedai.
"Saya juga bercadang memperluaskan aplikasi ini kepada rangkaian tukang gunting lain agar dapat membantu pelanggan tahu lokasi khidmat mereka, selain boleh memilih tukang gunting yang menawarkan khidmat terbaik," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
