Ketelusan harga ubat belum cukup ringankan pengguna - CAKE

Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025. (Gambar kecil: Mohamad Yusrizal)
Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025. (Gambar kecil: Mohamad Yusrizal)
A
A
A

ALOR SETAR – Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) yang diumumkan kerajaan belum mencukupi dalam usaha meringankan beban kos kesihatan rakyat, khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pelaksanaan MKHU yang diwajibkan bermula 1 Mei 2025 di bawah Seksyen 723 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) hanya mengkehendaki klinik, hospital dan farmasi memaparkan harga ubat, namun tiada kawalan terhadap harga yang ditetapkan pihak penyedia.

Katanya, paparan harga ubat hanya memberikan maklumat, bukan penyelesaian kerana masih sia-sia jika rakyat tetap tidak mampu membelinya.

“Golongan B40 hanya menerima ubat asas seperti paracetamol dan antibiotik di hospital kerajaan, manakala ubat penting lain perlu dibeli sendiri di farmasi swasta dengan harga tinggi.

“Ramai akhirnya memilih untuk tidak membeli, atau terpaksa berhutang,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kesihatan adalah hak asas dan bukan satu bentuk kemewahan, justeru langkah lebih menyeluruh perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan rakyat benar-benar mendapat manfaat daripada sebarang dasar yang dilaksanakan.

“Kerajaan perlu memperkenalkan kawalan harga ubat-ubatan, mengekang caj rawatan berlebihan di sektor swasta, memperluas fasiliti kesihatan awam yang lengkap, serta memastikan golongan miskin menerima ubat percuma tanpa had jenis atau kos,” katanya.

Mohamad Yusrizal berkata, selagi tiada pemantauan dan kawalan menyeluruh, mekanisme itu hanya bersifat kosmetik.

“Ubat akan terus jadi barangan mahal yang tidak mampu dibeli oleh mereka yang benar-benar memerlukannya.

Artikel Berkaitan:

“Kita mahu rakyat Malaysia sihat, bukan memilih untuk berdiam diri dan menanggung penyakit kerana tidak mampu membeli ubat,” ujarnya.

MKHU dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Oktober 2023 dan dilaksanakan secara rasmi mulai 1 Mei 2025.

Di bawah mekanisme itu, semua hospital, klinik dan farmasi swasta diwajibkan memaparkan harga ubat selaras dengan Seksyen 723 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!