Cubaan seludup 56 tan beras putih

Serbuan dibuat berdasarkan risikan yang dijalankan bagi membanteras aktiviti penyeludupan beras ke pasaran tempatan. Foto PGA BRIGED UTARA
Serbuan dibuat berdasarkan risikan yang dijalankan bagi membanteras aktiviti penyeludupan beras ke pasaran tempatan. Foto PGA BRIGED UTARA
A
A
A

GURUN – Cubaan menyeludup 56.53 tan beras putih tanpa dokumen sah berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara di sini pada Rabu.

Dalam operasi tersebut, dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah lori treler ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan muatan beras yang dibawa.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, berkata, serbuan dibuat berdasarkan risikan yang dijalankan bagi membanteras aktiviti penyeludupan beras ke pasaran tempatan.

“Kami berjaya menahan dua suspek lelaki tempatan bersama sebuah lori treler yang membawa muatan beras bernilai RM226,120, selain kenderaan yang digunakan dianggarkan bernilai RM400,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994, yang memperuntukkan denda sehingga RM15,000 atau penjara sehingga dua tahun bagi kesalahan pertama.

“Sekiranya suspek melakukan kesalahan berulang, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.

Selain itu, tiga saman trafik turut dikeluarkan terhadap pemandu lori treler di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

Artikel Berkaitan:

“Muatan beras dan lori treler telah dirampas serta diserahkan kepada Jabatan Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah, manakala kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” tambah Shahrum.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan risikan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti penyeludupan beras import ke pasaran tempatan dapat dibendung.

“Kami tidak akan berkompromi dalam membanteras penyelewengan barang keperluan harian yang menjadi kepentingan awam.

“Masyarakat diseru untuk turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!