PGA patahkan cubaan seludup petrol, kosmetik

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup petrol dan kosmetik bernilai RM3,490.50 dalam dua serbuan berasingan di Pengkalan Kubor, Tumpat dan Rantau Panjang di sini pada Rabu.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama pada jam 10.30 pagi, pihaknya telah menahan sebuah kereta di Jalan Kasban, Kampung Pulau Ular.
"Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu telah menjumpai lebih 70 liter minyak petrol bernilai RM143.50 di dalam tangki ubah suai yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
"Selain itu, kita turut menahan suspek bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut Nik Ros Azhan, dalam serbuan kedua di pangkalan haram Abe Pok Dik pada jam 2.20 petang, pihaknya telah menjumpai beberapa kotak di kawasan tebing Sungai Golok, Rantau Panjang semasa melakukan rondaan dalam Op Taring Wawasan.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kotak-kotak itu telah menjumpai produk kosmetik bernilai RM3,347 yang diseludup dari Thailand dan disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan selanjutnya.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!