Pensijilan ISO 37001 sebagai syarat kelayakan bida projek kerajaan lebih RM100 juta tepat masanya - IIM

SHAH ALAM – Pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (Anti-Bribery Management System, ABMS) sebagai syarat kelayakan membida projek kerajaan bernilai melebihi RM100 juta merupakan satu langkah reformasi besar yang tepat pada masanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Rahman Mohd Din berkata, pelaksanaan syarat ini bukan sekadar peraturan tambahan tetapi merupakan instrumen penting dalam memacu integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam sektor awam dan swasta.
“ISO 37001 merupakan standard antarabangsa yang diperkenalkan oleh International Organization for Standardization (ISO) bagi membantu organisasi menubuhkan, melaksanakan, mengekalkan dan menambah baik sistem pengurusan antirasuah.
“Pensijilan ini merangkumi dasar antirasuah, latihan pekerja, prosedur kewangan, kawalan dalaman serta mekanisme pelaporan dan pemantauan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pensijilan ISO 37001 bukanlah sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah ia membina struktur sistematik dalam sesebuah organisasi untuk mengenal pasti, mengesan dan mengurus risiko rasuah.
“Sijil ini merangkumi dasar dan kod etika antirasuah yang diwajibkan kepada semua kakitangan dan rakan kongsi perniagaan, latihan berkala, peningkatan kesedaran terhadap integriti, serta prosedur pelaporan dalaman (whistleblower) dan mekanisme siasatan bebas,” ujarnya lagi.
Rahman memaklumkan bahawa pelaksanaannya memberi kesan positif kepada syarikat, ekonomi dan pelaburan asing dengan memperkukuh imej serta reputasi korporat, sekali gus meningkatkan peluang pasaran antarabangsa dan kredibiliti di mata rakan dagang luar negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keberkesanan langkah ini sangat bergantung kepada komitmen politik yang konsisten, kapasiti badan pensijilan, serta kesediaan industri untuk berubah dari segi struktur dan budaya.
Menurutnya, sekiranya dilaksanakan dengan baik, dasar ini akan menyumbang kepada pengurangan rasuah, meningkatkan kecekapan ekonomi negara, serta mengangkat imej Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam arena global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!