Menyamar pelanggan sebelum melarikan barang kemas lebih RM100,000

SHAH ALAM - Sebuah kedai emas di sini mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas tiga utas rantai tangan serta dua cincin emas dilarikan seorang lelaki dan wanita yang berpura-pura hendak membeli barang kemas itu, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang perempuan berusia 26 tahun yang juga jurujual kedai berkenaan pada jam 4.55 pagi, Ahad.
"Kejadian berlaku pada jam 4 petang, Sabtu, kedua-dua suspek berpura-pura berminat untuk membeli barangan kemas.
"Ketika jurujual sibuk mengambil pelbagai barangan emas untuk ditunjukkan, suspek wanita telah bertindak mengambil beberapa barang kemas tanpa disedarinya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Iqbal berkata, kehilangan tersebut hanya disedari selepas pasangan itu beredar dan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek wanita tersebut telah mengambil barang kemas semasa pengadu sedang leka.
"Antara barangan yang dicuri ialah dua bentuk cincin emas 916 dan tiga rantai tangan emas 916 dengan anggaran berat keseluruhan 244.08 gram melibatkan kerugian sekitar RM111,743.55," katanya.
Mohd Iqbal berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek kini sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Prabagaran Nair di talian 011-26394419 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
