Wakil rakyat BN gesa siasat kelewatan empat hari tahanan rumah Najib

Manndzri (tengah) ketika sidang media di Bangunan Parlimen pada Rabu.
Manndzri (tengah) ketika sidang media di Bangunan Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggesa penilaian bebas terhadap pengendalian kes tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak susulan kelewatan empat hari pelaksanaannya walaupun denda RM50 juta telah dibayar.

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, pelaksanaan keputusan mahkamah itu tidak menggugurkan tanggungjawab Peguam Negara untuk menjelaskan kelewatan berkenaan.

"Pelaksanaan tahanan rumah ini tidak sekali-kali menutup tuntutan pertanggungjawaban terhadap penangguhan dari 6 hingga 10 November 2026, selepas pembayaran denda RM50 juta disempurnakan dan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) dikeluarkan oleh mahkamah.

"Mengapakah pelaksanaan sebelum ini ditangguhkan atas alasan kekaburan dan implikasi undang-undang, tetapi kini boleh diteruskan? Apakah halangan sebenar ketika itu dan apakah pembetulan dokumen yang telah menyelesaikannya?" katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta pada Selasa malam bagi menjalani baki hukuman penjara kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin sebelum itu membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang membenarkan Najib menjalani tahanan rumah berkuat kuasa serta-merta.

Pada September lalu, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat lain.

Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara menegaskan, Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan mengapa pembetulan dokumen atau pengeluaran waran baharu, sekiranya diperlukan, tidak diusahakan lebih awal selepas masalah dikenal pasti.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan Warta Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Penjara 1995 bagi menetapkan kediaman di Langgak Duta sebagai tempat tahanan yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat berhak mengetahui apa yang berubah, bila masalah dikenal pasti dan mengapa penyelesaiannya mengambil masa sehingga 10 November.

"Jika warta kerajaan dan mahkamah sudah tersedia pada 6 November, atas asas apakah Peguam Negara bertindak secara sendirian atau 'unilateral' mengarahkan Najib terus ditempatkan di Penjara Kajang?" soalnya.

Beliau berkata, AGC juga perlu menjelaskan asas perundangan yang digunakan bagi mengekalkan penempatan Najib di Penjara Kajang sepanjang tempoh penangguhan berkenaan.

Manndzri menambah, sekretariat turut mempersoalkan sama ada isu tafsiran dan implikasi pelaksanaan tahanan rumah telah dibangkitkan ketika proses pertimbangan Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu.

"Justeru, sekretariat mengekalkan desakan supaya langkah sewajarnya diambil melalui proses yang sah untuk merehatkan Peguam Negara sementara sebuah badan penilaian bebas membuat semakan menyeluruh terhadap pengendalian kes ini.

"Pelaksanaan tahanan rumah tidak memadamkan kelewatan. Penyelesaian tidak menggugurkan pertanggungjawaban. Peguam Negara mesti menjawab mengapa penangguhan berlaku dan siapa yang bertanggungjawab," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!