Terengganu sasar hab pasaran lembu sado

Halim (tiga, kanan) dan Dr Azman (tengah) mendapatkan pandangan daripada golongan penternak yang hadir pada majlis itu.
Halim (tiga, kanan) dan Dr Azman (tengah) mendapatkan pandangan daripada golongan penternak yang hadir pada majlis itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan meneroka dan memajukan industri penternakan lembu sado dan daging ‘katang’ ini ke satu tahap yang lebih tinggi, setaraf dengan daging wagyu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dalam mencapai hasrat itu juga, pihaknya akan berusaha untuk mempatenkan ‘Lembu Sado Terengganu’ sebagai satu jenama.

Menurutnya, satu persetujuan bersama antara kerajaan negeri bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan dibantu tokoh perniagaan negara iaitu Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad, Tan Sri Halim Mohammad.

“Saya sangat yakin lembu sado ini boleh maju ke hadapan memandangkan daripada segi keperluan daging, dengan kapasiti penternakan yang kita ada, ia cuma mampu memenuhi keperluan sekitar 30 peratus sahaja, maknanya kita mempunyai lompang keperluan sekitar 70 peratus.

“Ini perlu diterokai dan dimanfaatkan. Kita melihat usaha sama ini sangat menguntungkan, yang mana kerajaan negeri ada bahagian-bahagian yang boleh disumbangkan, terutamanya daripada segi tanah dan modal.

“Tan Sri Halim yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempunyai jaringan sehingga ke 48 buah negara, dan dibantu dengan kepakaran Veterinar (JPV), kita rasa gandingan ini satu gandingan yang lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis ‘Business Matching’ Hab Lembu Sado Negeri Terengganu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad, Tan Sri Halim Mohammad.

Artikel Berkaitan:

Jelas Dr Azman, di Terengganu kini terdapat kira-kira 300 penternak lembu sado.

Sementara itu, Halim berkata, industri penternakan lembu sado begitu cerah dan ibaratkan industri lautan biru memandangkan ia tiada saingan.

“Kumpulan Halim Mazmin bersedia untuk membantu dan membuat rangkaian kerjasama pintar dengan penternak untuk memberikan modal secukupnya supaya kita boleh kembangkan industri penternakan ini secara cepat.

“Keperluan daging masih di tahap rendah, sebab itu kita bukan nak pasarkan daging ini di Terengganu sahaja tetapi saya juga akan bantu mencari pasaran-pasaran baharu di luar negara.

“Kita boleh memasarkan sama ada daging basah atau beri nilai tambah kepada daging lembu sado untuk pasaran Asean dan banyak produk-produk hasilan daripada lembu sado itu sendiri,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya berhasrat untuk membuat satu standard atau piawaian terhadap kualiti daging yang dihasilkan dengan mendapatkan khidmat nasihat JPV supaya penternak dapat menghasilkan lembu sado standard.

Katanya, apabila kualiti standard ditetapkan, pengeksportan daging sado akan lebih mudah, dengan penjenamaan dan pengenalan daging lembu sado setaraf dengan daging wagyu.