SPRM siasat penyeludupan bahan berbahaya di KLIA guna ikrar palsu

SHAH ALAM – Ikrar barangan berbahaya sebagai produk isi rumah antara taktik dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan bahan berbahaya menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima maklumat berkaitan kegiatan itu yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan membuka satu kertas siasatan.
"Maklumat diterima pada awal tahun ini mendakwa penyeludupan barangan berbahaya termasuk bahan kimia dilakukan tanpa mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan.
"Kegiatan ini meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan, terutama dua kejadian kebakaran yang berlaku pada tahun 2024," katanya pada Rabu.
Sumber berkata, SPRM kini sedang menyiasat syarikat serta pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Antara fokus siasatan adalah mengenal pasti kelemahan dari sudut tata kelola yang menyebabkan barangan berbahaya ini mudah diseludup masuk.
"SPRM turut akan bekerjasama dengan pihak pengurusan lapangan terbang dan agensi penguat kuasa berkaitan, selain tidak menolak kemungkinan beberapa pihak akan dipanggil bagi tujuan siasatan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!