Wujud bayaran tidak sepatutnya, PDRM serah kepada SPRM siasat unsur rasuah kontrak C4i
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat unsur rasuah membabitkan kontrak penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) bernilai RM70 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dalaman yang dijalankan PDRM mendapati wujud bayaran tidak sepatutnya diluluskan kepada sebuah syarikat yang mengendalikan kontrak tersebut.
"Susulan penemuan itu, kita telah menyerahkan surat kepada SPRM bagi menjalankan siasatan lanjut.
"Sebarang kesalahan berkaitan rasuah yang dikesan, kita akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM termasuk dalam kes ini,” katanya pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan enam individu termasuk dua pegawai polis berpangkat Superintendan dan Inspektor ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta membabitkan kontrak berkenaan.
Turut ditahan, seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan serta dua individu lain dalam serbuan yang dilakukan di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
"Difahamkan, perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2022 hingga 2025 dengan mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja komponen perkhidmatan yang tidak dilaksanakan mengikut syarat kontrak.
"Kontrak itu melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM70 juta dan dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Khamis membenarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap semua suspek hingga 30 April ini bagi membantu siasatan.
SPRM turut merampas empat kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta serta membekukan 51 akaun bank membabitkan 30 akaun individu dan 21 akaun syarikat bernilai keseluruhan lebih RM3.5 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

