Padah seleweng 13 tan metrik minyak masak peket

Pemeriksaan dibuat di sebuah syarikat pembungkusan semula minyak masak peket bersubsidi satu kilogram di Sandakan.
Pemeriksaan dibuat di sebuah syarikat pembungkusan semula minyak masak peket bersubsidi satu kilogram di Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN -Tindakan sebuah syarikat pembungkus minyak masak peket bersubsidi yang mengedarkan 13 tan matrik minyak masak ke tempat lain tanpa kebenaran membawa padah apabila dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, tindakan diambil ketika sepasukan pegawai penguat kuasa mereka menjalankan audit pengedaran minyak masak peket bersubsidi di syarikat dan pemegang lesen runcit lesen barang kawalan termasuk pasar raya di sekitar daerah ini.

"Hasil pemeriksaan di sebuah syarikat dan semakan silang yang dijalankan mendapati bekalan minyak masak peket bersubsidi yang dibungkus hanya diedarkan sebanyak 21 tan metrik daripada 34 tan metrik di salah sebuah premis perniagaan yang telah ditetapkan kepada syarikat tersebut.

"Pemeriksaan susulan mendapati, baki minyak masak peket bersubsidi sebanyak 13 tan metrik yang sepatutnya diedarkan ke premis perniagaan yang dinyatakan dalam surat arahan edaran telah diagihkan ke tempat yang lain tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Pengawal Bekalan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pegawai penguatkuasa KPDN melakukan semakan dan sitaan dokumen terhadap syarikat tersebut.
Pegawai penguatkuasa KPDN melakukan semakan dan sitaan dokumen terhadap syarikat tersebut.

Katanya lagi, susulan daripada itu, syarikat tersebut didapati gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan berhubung dengan penetapan agihan minyak masak peket bersubsidi tersebut.

"Oleh itu, syarikat ini telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) di mana dokumen seperti invois, resit jualan, buku stok serta lesen barang kawalan (CSA) telah disita untuk siasatan lanjut," katanya.

Sebelum itu, Azdy Zukkry menjelaskan, arahan penetapan edaran minyak masak peket bersubsidi satu kilogram oleh Pengawal Bekalan itu telah mula dilaksanakan sejak Ogos tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"KPDN telah menetapkan lokasi penghantaran minyak masak peket bersubsidi tersebut sebagai usaha membanteras kegiatan penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di negeri ini.

"Sebelum ini, syarikat pembungkus minyak masak bebas menghantar bekalan minyak masak peket bersubsidi kepada pelanggan masing-masing.

"Jadi KPDN khususnya di Sandakan sentiasa memantau pengedaran bekalan minyak masak peket bersubsidi di daerah ini dan juga menjalankan pengauditan secara komprehensif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak peket bersubsidi ini dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya," katanya.

Sehubungan itu, Azdy Zukkry nenegaskan, semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak peket bersubsidi adalah diingatkan supaya memberikan komitmen dan lebih bertangunggjawab dalam memastikan subsidi itu sampai ke golongan sasar.

"Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!